Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 25 Oktober. - Kira-kira 350 peserta menyertai VOLT RUN 2026 anjuran Mortar Events yang berlangsung di Taman Mahkota Jubli Emas, di ibu negara, pagi tadi.
Acara berkenaan menampilkan tiga kategori larian, iaitu kategori 2.5 kilometer (km), Kategori 5km, Kategori 10km.
Pelepasan para peserta disempurnakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman selaku tetamu kehormat.
Acara diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang Kategori 10km Lelaki, 10km Wanita Terbuka, 5km Lelaki Terbuka dan 5km Wanita Terbuka.
Bagi Kategori 10km Lelaki Terbuka, tempat pertama dimenangi oleh HA Abd. Malik Awang Hidup, diikuti Md. Zaim Matussin di tempat kedua, manakala Jimbo berada di tempat ketiga.
Sementara bagi Kategori 10km Wanita Terbuka pula, Aida Syazwana muncul tempat pertama, diikuti Liyana Z. berada di tempat kedua, manakala Qimm Chin pula memenangi tempat ketiga.
Dalam Kategori 5km Lelaki Terbuka menyaksikan Kasyful menduduki tempat pertama, diikuti Awangku Aniq berada di tempat kedua, sementara Ahmad Zawawi pula menduduki di tempat ketiga.
Manakala, Kategori 5km Wanita Terbuka pula dimenangi oleh Esabelle Sim Joo Ern menduduki tempat pertama, diikuti Rachie berada di tempat kedua, sementara Hanipah Haji Usin pula menduduki di tempat ketiga.
Para peserta juga berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan barangan VOLT serta hadiah kasut sukan dari Dynamic Sports Brunei.
VOLT RUN 2026 diadakan bertujuan untuk menggalakkan gaya hidup aktif, selain menyediakan platform bagi masyarakat untuk berinteraksi, berkenalan dengan orang baharu dan meluangkan masa bersama melalui aktiviti yang dianjurkan.
Antara tarikan utama acara ialah Mini Social Games yang diperkenalkan khusus bagi Kategori 2.5km dalam usaha menggalakkan interaksi, kerjasama dan pembentukan hubungan baharu dalam kalangan peserta.
Menerusi beberapa petunjuk dan cabaran berkumpulan di sepanjang laluan, para peserta digalakkan untuk kekal bersama serta menyelesaikan tugasan secara berkumpulan.
Acara larian berkenaan mendapat sokongan daripada beberapa perniagaan dan organisasi tempatan termasuk RYS Entertainment, Ranoadidas, Kristal FM, ANTA, Dynamic Sports Brunei, Muscle Factory, TraPhy, Guren Cafe, RainFresh, You C1000, NEMTLife, Platinum Fitness Studio dan iMap Enterprise.
Sokongan berkenaan merangkumi pelbagai aspek penganjuran termasuk penyediaan tapak acara, promosi, baucar peserta, minuman dan jamuan ringan, aktiviti senamrobik, pengurusan masa larian serta bantuan perubatan.
Mortar Events merakamkan penghargaan kepada semua peserta, rakan kerjasama, penaja, vendor, sukarelawan dan petugas acara atas sokongan serta sumbangan dalam menjayakan penganjuran berkenaan.
Menerusi VOLT RUN 2026, Mortar Events berharap dapat meneruskan usaha dalam menyediakan peluang kepada masyarakat di seluruh negara untuk mengamalkan gaya hidup aktif, berinteraksi dan membina silaturahim melalui aktiviti sukan serta kemasyarakatan.