WBC Brunei buat persiapan rapi bakal sertai Boling Padang Terbuka Malaysia

23 Okt 2026 - 6:02am

Berita dan Foto : Ihsan Wisdom Bowls Club

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 22 Oktober. - Kelab Boling Padang Wisdom Negara Brunei Darussalam (WBC) akan menghantar pasukan bagi menyertai Kejohanan Boling Padang Terbuka Malaysia – The Royal Patron’s Cup 2026 yang akan berlangsung di Terengganu, Malaysia bermula pada 25 hingga 31 Oktober ini.

Presiden WBC Brunei, Awang Haji Johari Achee semasa hadir menyaksikan sesi latihan terakhir pasukan baru-baru ini, mengingatkan para pemain untuk menjaga imej negara sebagai keutamaan di samping memberikan sokongan dan semangat kepada para pemain untuk membuat yang terbaik demi mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Tambahnya, penyertaan ini merupakan wadah terbaik untuk para pemain mengembalikan semula status kegemilangan negara dalam sukan boling padang di rantau Asia dan antarabangsa sepertimana yang pernah dikecapi beberapa tahun yang lampau.

Menurutnya lagi, usaha berterusan WBC mengetengahkan pemain remaja merupakan misi berterusan kelab berkenaan dalam melahirkan pemain pelapis untuk tempoh jangka masa panjang demi kepentingan negara di masa hadapan.

Kejohanan yang diberi status Gold oleh badan induk World Bowls ini bakal menyaksikan ramai pemain terbaik dari beberapa negara akan turun bagi merebut gelaran juara dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan di mana World Bowls menawarkan mata ranking rasmi siri dunia kepada para peserta.

Cabaran pada kejohanan ini dianggap sangat berat di mana beberapa atlet terbaik dunia daripada Malaysia, Australia, Hong Kong China, India, New Zealand, Filipina, Thailand, Sri Lanka, Singapura dan Kenya yang akan menyertai kejohanan ini nanti.

Pasukan WBC Brunei sudah pun membuat persiapan rapi sejak beberapa bulan lepas dalam usaha untuk mendapatkan keputusan terbaik pada kejohanan ini nanti.

Pasukan ini akan berlepas meninggalkan negara pada 24 Oktober ini. Kejohanan akan berlangsung di Arena Boling Padang, Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus, Terengganu, Malaysia.