DALAM era digital yang semakin berkembang pesat, pelbagai trend baharu muncul dan mendapat perhatian masyarakat, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan golongan remaja. Antaranya termasuklah squishy, iaitu sejenis permainan lembut yang boleh dipicit, ditekan dan dilepaskan untuk kembali kepada bentuk asalnya secara perlahan-lahan. Permainan ini bukan sahaja menarik dari segi bentuk dan warnanya, malah turut menjadi pilihan sebagai alat hiburan dan barangan koleksi peribadi.
Squishy lazimnya diperbuat daripada bahan lembut seperti busa poliuretana (polyurethane foam) yang mempunyai tekstur kenyal dan anjal. Permainan ini dihasilkan dalam pelbagai bentuk, termasuk makanan seperti roti, kek, donat dan buah-buahan, watak kartun, haiwan dan lain-lain lagi. Reka bentuknya yang comel, berwarna-warni dan menyerupai objek sebenar menjadikan permainan ini mudah menarik perhatian pengguna, terutamanya kanak-kanak.
Antara faktor utama yang mendorong populariti squishy ialah pengalaman sensori yang ditawarkannya. Aktiviti memicit permainan ini dan melihatnya kembali kepada bentuk asal dapat memberikan kepuasan kepada sesetengah pengguna. Aktiviti tersebut juga sering dikaitkan dengan usaha mengurangkan kebosanan dan memberikan ketenangan buat sementara waktu. Selain itu, pengaruh media sosial turut memainkan peranan penting dalam menyebarluaskan trend ini. Video yang memaparkan koleksi squishy, bunyi yang terhasil ketika permainan itu dipicit serta pelbagai cara penggunaannya sering menarik perhatian penonton. Keadaan ini mendorong pengguna untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk tersebut, malah ada yang mula mengumpulkannya sebagai hobi.
Squishy berpotensi merangsang kreativiti dan imaginasi kanak-kanak melalui kepelbagaian bentuk, warna dan reka bentuknya. Permainan ini juga boleh dimanfaatkan sebagai bahan pembelajaran untuk membantu kanak-kanak mengenal warna, bentuk, saiz dan nama objek. Bagi penggemar barang koleksi, squishy membuka peluang untuk berkongsi minat, bertukar-tukar koleksi dan berinteraksi dengan rakan sebaya. Dengan cara ini, permainan tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai alat hiburan, malah dapat dimanfaatkan dalam aktiviti pembelajaran yang bersesuaian.
Walau bagaimanapun, di sebalik daya tarikannya, permainan squishy turut mempunyai keburukan yang perlu diberi perhatian. Penggunaan yang berlebihan boleh menyebabkan pengguna leka sehingga mengabaikan pelajaran, tugasan harian dan aktiviti lain yang lebih bermanfaat. Keinginan untuk mengumpulkan pelbagai jenis squishy juga boleh mendorong sesetengah pengguna berbelanja secara berlebihan, terutamanya apabila terpengaruh oleh promosi dan trend yang tular di media sosial. Oleh itu, pengguna perlu bijak membezakan antara keperluan dengan kehendak ketika membuat pembelian.
Dari aspek keselamatan, squishy yang diperbuat daripada bahan yang tidak diketahui atau tidak memenuhi piawaian keselamatan berkemungkinan mengandungi bahan yang tidak sesuai digunakan. Permainan yang koyak atau rosak juga boleh mendedahkan bahan pengisi di dalamnya, sekali gus menimbulkan risiko serta boleh menyebabkan bahaya, khususnya kepada kanak-kanak kecil yang cenderung memasukkan objek ke dalam mulut. Di samping itu, permainan yang tidak dibersihkan dengan betul boleh mengumpulkan habuk dan kotoran yang menjejaskan kebersihannya.
Sehubungan dengan itu, pengguna dinasihatkan supaya memilih permainan squishy yang berkualiti, memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan serta bersesuaian dengan peringkat umur bagi memastikan keselamatan ketika bermain. Ibu bapa hendaklah memastikan permainan yang dibeli mempunyai maklumat pengeluar dan amaran keselamatan yang jelas. Sekiranya permainan tersebut koyak, rosak atau mengeluarkan bahan pengisi, pengguna hendaklah menghentikan penggunaannya dengan segera. Permainan ini juga perlu dibersihkan mengikut arahan pengeluar dan disimpan di tempat yang bersih serta sesuai.
Selain mengutamakan keselamatan, pengguna juga perlu mengamalkan sikap berhemah ketika berbelanja dengan membeli permainan mengikut kemampuan dan keperluan. Pengaruh media sosial tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membeli setiap produk yang sedang popular. Masa bermain juga hendaklah dihadkan agar tidak mengganggu pembelajaran, waktu berehat dan tanggungjawab harian. Dalam hal ini, ibu bapa pula memainkan peranan penting dalam membimbing anak-anak supaya menggunakan permainan secara bertanggungjawab, di samping menggalakkan penglibatan mereka dalam aktiviti lain yang dapat memberikan manfaat kepada perkembangan diri.
Kesimpulannya, trend squishy merupakan antara fenomena permainan moden yang menggabungkan unsur hiburan, kreativiti dan pengalaman sensori. Permainan ini mempunyai pelbagai manfaat, termasuk memberikan hiburan dan merangsang imaginasi, namun tetap mempunyai kekurangan sekiranya digunakan secara berlebihan atau tidak menitikberatkan aspek keselamatan.
Oleh itu, setiap pengguna hendaklah mengutamakan keselamatan, menjaga kebersihan, mengawal perbelanjaan dan menggunakan masa secara bijak. Dengan sikap yang bertanggungjawab dan sederhana, permainan squishy dapat menjadi salah satu bentuk hiburan yang menyeronokkan tanpa menjejaskan keperluan dan tanggungjawab harian.