SAO PAULO, 16 Julai. - Sekurang-kurangnya tiga orang maut dan lebih 40 lagi cedera awal Rabu selepas sebuah bas persiaran dari Paraguay tergelincir dan terbalik di negeri selatan Brazil, Santa Catarina, kata pihak berkuasa, lapor Xinhua.
Kemalangan itu berlaku di lebuh raya negeri antara majlis perbandaran Maravilha dan Sao Miguel da Boa Vista di barat Santa Catarina, berhampiran sempadan Argentina.
Jurucakap bomba berkata 67 orang berada di dalam kenderaan itu. Pihak berkuasa berkata pemandu hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum bas itu terbabas daripada jalan dan jatuh ke dalam gaung di tepi jalan.
Lebih 20 anggota bomba, puluhan jentera bomba serta pasukan perubatan kecemasan, polis tentera dan awam, dan polis forensik menyertai operasi menyelamat. Punca kemalangan sedang disiasat. - ©BERNAMA