Galeri Jubli Emas Hubungan Pertahanan NBD-Republik Singapura dirasmikan

15 Okt 2026 - 6:39am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 14 Oktober. - Galeri Jubli Emas Hubungan Pertahanan Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Singapura telah dibuka secara rasmi pada hari ini di Hab Tenaga Brunei.

Majlis tersebut disempurnakan bersama oleh Setiausaha Tetap (Dasar dan Pentadbiran), Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim, dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke NBD, Tuan Yang Terutama Yip Wei Kiat.

Majlis dimulakan dengan acara pemotongan reben, diikuti dengan tayangan montaj video yang menyoroti hubungan persahabatan dan kerjasama pertahanan yang erat antara NBD dan Republik Singapura.

Kedua-dua tetamu kehormat kemudiannya melawat galeri sebelum majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

Galeri Jubli Emas mempamerkan lima dekad persahabatan, kepercayaan dan kerjasama pertahanan antara NBD dan Republik Singapura.

Melalui paparan detik-detik penting dan pengalaman bersama, galeri ini memperlihatkan hubungan erat antara kepimpinan dan institusi pertahanan kedua-dua negara, sekali gus mencerminkan kesinambungan kerjasama yang terus berkembang dan diperkukuh merentasi generasi.

Galeri ini turut memaparkan perkembangan kerjasama ketenteraan dua hala antara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Angkatan Bersenjata Republik Singapura sejak tahun 1976, termasuk latihan bersama, pertukaran anggota, program pembangunan profesional serta kursus-kursus ketenteraan yang dilaksanakan di kedua-dua negara.

Kerjasama berterusan ini telah memperkukuh persefahaman bersama, meningkatkan kesalingoperasian serta mengeratkan hubungan profesional dan persahabatan dalam kalangan anggota kedua-dua angkatan tentera.

Turut hadir ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap dari Kementerian Pertahanan, dan Kementerian Pendidikan, Pemerintah-Pemerintah Angkatan Tentera, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dari kementerian-kementerian berkenaan, Atase-Atase dan Penasihat-Penasihat Pertahanan negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ABDB, serta wakil-wakil institusi pendidikan dan persatuan.

Galeri Jubli Emas akan dibuka kepada orang ramai mulai dari 15 hingga 25 Oktober 2026.

Orang ramai disarankan untuk merujuk jadual lawatan yang telah dimuat naik melalui akaun Instagram rasmi Kementerian Pertahanan, ‘@mindefbrunei’.