Memperkukuh kerjasama perdagangan dua hala, pelaburan NBD, Republik Singapura

15 Okt 2026 - 6:55am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri

REPUBLIK SINGAPURA, Rabu, 14 Oktober. - Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri (JCMM) antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura Ke-2 dan Mesyuarat Peringkat Menteri Zon Makanan Agri-Teknologi Kali Pertama (1st ATFZ MM) pada 12 Oktober 2026 di Republik Singapura.

Mesyuarat-mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Yang Berhormat Menteri dan Menteri Kemampanan dan Alam Sekitar dan Menteri yang bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan Republik Singapura, Puan Yang Terutama Grace Fu.

JCMM Kali Ke-2 merupakan susulan kepada mesyuarat sulung JCMM yang telah diadakan pada 15 September 2025.

Dalam mesyuarat tersebut, kedua-dua menteri menegaskan semula sokongan dan komitmen mereka untuk memperkukuh kerjasama perdagangan dua hala dan pelaburan antara NBD dengan Republik Singapura.

NBD dan Republik Singapura bersetuju bahawa kerjasama yang lebih erat serta penyelesaian yang berteraskan masa hadapan kekal penting, khususnya bagi inisiatif di bawah empat kumpulan kerja, iaitu 1) Bekalan Makanan; 2) Produk Perubatan; 3) Karbon Rendah dan 4) Pasaran Karbon, Pengawalan dan Penyimpanan Karbon, Kredit Karbon serta Ekonomi Hijau.

Dalam ucapannya, Yang Berhormat menyatakan penghargaan terhadap hubungan erat yang telah terjalin sekian lama antara NBD dan Republik Singapura dalam pelbagai bidang, khususnya perdagangan dan pelaburan.

Melalui platform Jawatankuasa Bersama ini, Yang Berhormat menyatakan bahawa kemajuan yang baik telah dicapai dan menggalakkan NBD serta Republik Singapura untuk terus meneroka bidang kerjasama baharu serta memastikan usaha yang dilaksanakan dapat menghasilkan manfaat yang bermakna dan nyata.

Kedua-dua menteri mengakui bahawa dunia kini berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik dan landskap perdagangan yang bergolak. Oleh itu, bagi memastikan aliran perdagangan yang stabil serta memudahkan pergerakan barangan merentasi sempadan, khususnya ketika berlakunya krisis, mesyuarat tersebut turut memberikan peluang kepada NBD dan Republik Singapura untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama dalam Daya Tahan Rantaian Bekalan.

Penandatanganan MoU tersebut menjadi bukti persahabatan dan kepercayaan yang berkekalan antara NBD dan Republik Singapura, di samping menegaskan semula komitmen yang telah dibuat di bawah Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN yang Dipertingkatkan (ATIGA).

Mesyuarat tersebut turut menyaksikan pemeteraian perjanjian pembuatan dan pengedaran antara PDS Abattoir Sdn. Bhd. dengan sebuah syarikat milik Singapura yang dikenali sebagai Pondok Abang.

Perkara ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperluas akses pasaran dan memperkukuh kerjasama bekalan makanan antara NBD dan Republik Singapura.

Peningkatan eksport ke Republik Singapura sejak beberapa tahun kebelakangan ini mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap produk makanan keluaran NBD serta daya saingnya di pasaran antarabangsa.

Mesyuarat Peringkat Menteri Zon Makanan Agri-Teknologi Kali Pertama (1st ATFZ MM) membincangkan kemajuan dan dapatan kajian kebolehlaksanaan bersama mengenai penubuhan Zon Makanan Agri-Teknologi NBD dan Republik Singapura.

Kajian tersebut telah mengenal pasti peluang bagi NBD dan Republik Singapura untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing bagi meningkatkan perdagangan agromakanan, memperkukuh daya tahan bekalan makanan serta membuka peluang pelaburan baharu dalam sektor agromakanan.

Kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan mengenai hala tuju masa hadapan ATFZ, termasuk pertimbangan utama bagi pembangunan dan pelaksanaannya, khususnya dari segi daya maju komersial dan penyertaan sektor swasta.

Kedua-dua negara juga menegaskan semula komitmen untuk meneruskan kerjasama dalam memajukan inisiatif tersebut dan merealisasikan potensinya bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam pembangunan agromakanan serta meningkatkan daya tahan bekalan makanan.