46 diselamatkan selepas kapal Republik Sosialis Viet Nam tenggelam di Laut China Selatan

27 Jul 2026 - 11:09am

SANSHA, 27 Julai. - Seramai 46 kru sebuah kapal Republik Sosialis Viet Nam yang tenggelam berhampiran Terumbu Yongshu di Kepulauan Nansha, Laut China Selatan berjaya diselamatkan setakat 9 malam Ahad, termasuk seorang yang diselamatkan oleh pihak Republik Sosialis Viet Nam, menurut pihak berkuasa di bandar Sansha, selatan Republik Rakyat China, lapor Xinhua.

Pada 8.05 malam, pihak Republik Rakyat China memindahkan 41 mangsa yang diselamatkan secara berperingkat menggunakan rakit penyelamat daripada kapal penyelamat Republik Rakyat China,  "Nanhai Jiu 115", kepada kapal tentera laut Republik Sosialis Viet Nam, "Truong SA-01". Baki empat lagi mangsa dijadualkan diserahkan pada Isnin.

Kira-kira 6.23 petang pada Sabtu, kapal "Nanhai Jiu 115" yang dikendalikan oleh Biro Penyelamat Nanhai di bawah Kementerian Pengangkutan China, mengesan isyarat kecemasan di laut.

Selepas menemukan  sebuah rakit penyelamat yang membawa beberapa individu melambai-lambaikan pakaian untuk meminta bantuan, kapal penyelamat berkenaan menghampiri rakit itu untuk menjalankan operasi menyelamat.

Menurut pihak berkuasa mencari  dan menyelamat maritim Sansha, kesemua mangsa yang diselamatkan merupakan warga Republik Sosialis Viet Nam dari kapal "Khoi Nguyen 18" yang mengalami masalah. Kapal sepanjang 69.9 meter dan lebar 10.8 meter itu membawa 62 orang semasa kejadian berlaku.

Sebanyak enam kapal dan sebuah helikopter penyelamat dari Republik Rakyat China, serta tujuh kapal dari Republik Sosialis Viet Nam masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian. - ©BERNAMA