7 maut dalam nahas helikopter di wilayah San Juan, Argentina

30 Jul 2026 - 12:41pm

BUENOS AIRES, 30 Julai. - Tujuh orang maut selepas sebuah helikopter terhempas di wilayah San Juan, barat Argentina pada Rabu, lapor Xinhua. Helikopter jenis Bell 412 itu terputus hubungan dengan pusat kawalan kira-kira 10.26 pagi waktu tempatan.

Helikopter berkenaan yang disewa oleh Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan Argentina, dijadualkan berlepas ke La Rioja untuk menjalankan operasi memadam kebakaran hutan selepas selesai menjalani latihan di San Juan. Bangkai helikopter itu kemudian ditemukan oleh sebuah lagi helikopter yang dikerahkan ke kawasan berkenaan.

Gabenor San Juan kemudiannya mengesahkan kesemua tujuh individu di dalam helikopter itu maut termasuk pengarah pertahanan awam wilayah berkenaan, ketua bomba dan timbalan ketua polis. Punca nahas masih dalam siasatan. - ©BERNAMA