Angka korban gempa Kumamoto meningkat kepada 17, operasi mencari diteruskan

30 Jul 2026 - 12:43pm

KUMAMOTO (Jepun), 30 Julai. - Angka kematian akibat gempa bumi bermagnitud 7.1 yang melanda Wilayah Kumamoto di barat daya Jepun meningkat kepada 17, ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada Khamis, lapor Kyodo News.

Daripada angka kematian itu, lima mangsa ditemukan di pusat beli-belah Aeon di Kashima yang dilanda letupan selepas gempa, manakala lapan lagi di kilang Nippon Paper Industries Co. di Yatsushiro, tempat beberapa cerobong asap mengalami kerosakan teruk, menurut kerajaan wilayah berkenaan.

Sementara itu, Laluan Kyushu Shinkansen antara Stesen Kumamoto dan Kagoshima-Chuo masih belum beroperasi berikutan pengendali terus menilai kerosakan pada landasan dan kemudahan berkaitan. Bagaimanapun, perkhidmatan kereta api laju antara Stesen Chikugo-Funagoya di Wilayah Fukuoka dan Stesen Kumamoto dijangka disambung semula pada Khamis.

Setakat malam Rabu, ribuan isi rumah masih terputus bekalan elektrik atau air, manakala lebih 10,000 orang masih berlindung di pusat pemindahan setakat pagi Khamis, menurut kerajaan Wilayah Kumamoto. Gempa susulan terus menggegarkan kawasan berkenaan selepas gempa utama pada Selasa mencatatkan tahap atas 7 pada skala intensiti seismik Jepun di Uki dan Hikawa pada 4.27 petang. - ©BERNAMA