Angka korban tragedi terowong runtuh di timur laut Republik India meningkat kepada 20

22 Jul 2026 - 10:28am

NEW DELHI, 22 Julai. - Angka korban berpunca daripada kejadian sebuah terowong runtuh di timur laut Republik India meningkat kepada 20 orang, manakala lima lagi masih terperangkap, menurut laporan Anadolu Ajansi yang memetik kenyataan pihak berkuasa pada Rabu.

Seramai 25 pekerja terperangkap pada Isnin di dalam terowong stesen jana kuasa hidroelektrik yang sedang dalam pembinaan di Daerah Namchi, Negeri Sikkim. Kejadian itu berlaku ekoran "letupan secara tiba-tiba yang disyaki berpunca daripada gas metana di dalam batuan, sekali gus menghasilkan asap tebal dan gas beracun", menurut kenyataan Perbadanan Kuasa Hidroelektrik Kebangsaan milik kerajaan.

“Pasukan jurutera tapak kami sedang bekerjasama sepanjang masa dengan pihak berkuasa bagi membantu menstabilkan persekitaran terowong dan memastikan operasi menyelamat berjalan lancar,” menurut perbadanan itu.

Daripada 25 mangsa yang terperangkap di dalam terowong berkenaan, 20 daripadanya disahkan terkorban, kata Ketua Polis Daerah Namchi, Sonam D Bhutia kepada Agensi Berita Press Trust of India.

Ketua Menteri Sikkim, Prem Singh Tamang berkata pihak kerajaan akan “menubuhkan jawatankuasa siasatan peringkat tinggi bagi mengenal pasti punca sebenar insiden malang itu”.

“Pentadbiran daerah dengan kerjasama Pasukan Respons Bencana Kebangsaan (NDRF) serta agensi kecemasan lain sedang bekerja tanpa henti bagi meneruskan operasi menyelamat,” katanya menerusi hantaran di platform media sosial X.

Terdahulu, Perdana Menteri Republik India Narendra Modi memberi jaminan bahawa "kerajaan India akan memberi segala bantuan yang diperlukan bagi menyokong usaha menyelamat". - ©BERNAMA