DHAKA, 25 Julai. - Menteri Luar Bangladesh Dr Khalilur Rahman pada Jumaat memohon sokongan Filipina selaku Pengerusi ASEAN terhadap usaha negaranya menjadi Rakan Dialog Sektoral blok serantau itu, lapor Bangladesh Sangbad Sangstha (BSS).
Menurut kenyataan Kementerian Luar Bangladesh, permohonan itu disampaikan ketika beliau mengadakan pertemuan dua hala dengan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Ma. Theresa P. Lazaro di Manila, di luar sambutan ulang tahun ke-50 Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).
Dalam pertemuan itu, kedua-dua menteri membincangkan usaha memperluas kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk kejururawatan, kemudahan visa bagi pelancongan perubatan, promosi perniagaan dan penyatuan semula keluarga.
Rahman turut memohon sokongan Filipina terhadap usaha mencari penyelesaian berkekalan bagi krisis Rohingya yang berlarutan. Kedua-dua pihak menekankan kepentingan mempertingkat hubungan ekonomi antara Bangladesh dengan Filipina, selain membincangkan langkah untuk terus memperkukuh hubungan dua hala.
Bangladesh berusaha memperoleh status Rakan Dialog Sektoral ASEAN sebagai sebahagian daripada langkah memperdalam hubungan institusi dan memperluas kerjasama dengan pertubuhan serantau Asia Tenggara itu. - ©BERNAMA