China perkukuh Pinggu sebagai hab pertanian pintar, perluas eksport ke Asia Tenggara

17 Jul 2026 - 10:18am

BEIJING, 16 Julai. - China mempergiat usaha membangunkan Daerah Pinggu di Beijing sebagai hab pertanian pintar dan logistik moden bagi memperkukuh keselamatan makanan negara serta memperluas eksport produk pertanian bernilai tambah ke pasaran antarabangsa, termasuk Asia Tenggara.

Timbalan Ketua Daerah Pinggu Gao Hongbin berkata daerah itu kini berkembang daripada sekadar kawasan pengeluaran buah pic kepada pusat inovasi teknologi pertanian yang menggabungkan penyelidikan, pengeluaran, pemprosesan, logistik dan pelancongan luar bandar.

“Di sini, hasil penyelidikan tidak lagi kekal di makmal, tetapi diaplikasikan terus di ladang. Kami menggunakan teknologi untuk mengurangkan kos pengeluaran, meningkatkan kualiti hasil pertanian dan mengubah kaedah pertanian tradisional melalui inovasi,” katanya kepada wartawan antarabangsa semasa lawatan media ke Pinggu baru-baru ini.

Gao berkata Pinggu kini memacu pembangunan pertanian moden menerusi penggunaan teknologi seperti kamera pemantauan ladang, sensor tanah, sistem pemantauan pertumbuhan tanaman, satelit penderiaan jauh serta sistem pengairan dan pembajaan bersepadu.

Beliau berkata semua data pertanian disepadukan ke dalam platform digital yang membolehkan petani mengesan lebih awal ancaman penyakit tanaman, serangan perosak dan risiko cuaca, sekali gus meningkatkan hasil serta kecekapan pengeluaran.

Menurutnya, daerah itu turut menempatkan Taman Inovasi Sains dan Teknologi Pertanian Zhongguancun, antara platform utama inovasi pertanian China, selain menjadi tuan rumah Persidangan Inovasi Sains dan Teknologi Pertanian Dunia (WAFI) selama tiga tahun berturut-turut.

Dalam aspek perdagangan, Gao berkata Pinggu turut memanfaatkan pembangunan logistik moden bagi menyokong pengedaran produk pertanian.

“Pinggu merupakan salah satu lokasi penting dalam rangkaian logistik negara. Kini kami mempunyai hampir tiga juta meter persegi gudang berstandard tinggi, menjadikannya antara pusat logistik terbesar di Beijing,” katanya.

Beliau berkata pembangunan itu berjaya menarik syarikat logistik dan e-dagang utama seperti Tmall, JD Logistics dan Rishun Logistics, selain membantu memperkukuh hubungan perdagangan domestik serta antarabangsa.

Sementara itu, usaha memperluas pasaran produk makanan bernilai tambah dari Pinggu mula membuahkan hasil apabila syarikat makanan tempatan, Zixingyuan, mengeksport produk yogurt Nai Bing ke Malaysia sejak April lalu.

Timbalan Pengurus Besarnya Lu Xingjiu, berkata syarikat itu setakat ini telah menghantar dua kumpulan produk ke Malaysia dan menyasarkan import tahunan bernilai kira-kira 10 juta yuan menerusi kerjasama dengan rakan niaga tempatan.

“Setakat ini kami telah berjaya menghantar kumpulan kedua produk ke Malaysia. Bersama rakan kerjasama di Malaysia, kami telah menetapkan pelan perolehan yang menyasarkan import tahunan sekitar 10 juta yuan,” katanya kepada Bernama. - ©BERNAMA