DUBAI, 24 Julai. - Dubai menawarkan pakej insentif bernilai sehingga €€ 700 (US$796) kepada penduduknya yang membawa rakan atau saudara-mara berkunjung ke bandar raya itu, ketika sektor pelancongannya terjejas teruk akibat perang Iran, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Menurut laman sesawang rasmi pelancongan Dubai, penduduk yang menyertai program baharu itu boleh menikmati pelbagai manfaat untuk tetamu mereka termasuk diskaun penginapan hotel, hidangan di restoran dan tiket masuk ke lokasi tarikan.
Setiap penduduk dibenarkan menuntut sehingga tiga pakej berkenaan bagi pelawat yang mengunjungi Dubai mulai sekarang hingga akhir Oktober. Pelawat terbabit mestilah bukan penduduk Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan memasuki negara itu menggunakan visa pelancong.
Menurut laporan media tempatan, lebih 10,000 permohonan diterima dalam tempoh 48 jam pertama selepas program itu dilancarkan. Dubai merupakan antara bandar raya paling moden di dunia Arab dan terkenal dengan bangunan pencakar langit, selain hotel mewah di pesisir pantai serta pelbagai tarikan hiburan.
Hampir 20 juta pelancong asing mengunjungi Dubai tahun lepas, sekali gus mencatat rekod baharu bagi bandar raya berkenaan. Bagaimanapun, perang Iran yang tercetus pada akhir Februari susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel memberi kesan besar terhadap Dubai serta ibu negara UAE, Abu Dhabi. Serangan Iran menyasarkan kemudahan minyak UAE, Lapangan Terbang Dubai serta beberapa kawasan awam termasuk hotel.
Konflik itu menyebabkan hasil sektor pelancongan merosot, manakala jumlah syarikat penerbangan yang beroperasi di Dubai berkurangan kira-kira separuh. Dubai kini berusaha mengurangkan kesan konflik berkenaan sambil mempertahankan imejnya sebagai destinasi utama perniagaan dan hiburan. - ©BERNAMA