Gelombang haba ketiga landa Republik Itali, cetus amaran kesihatan dan kebakaran hutan

23 Jul 2026 - 2:39pm

ROME, 23 Julai. - Republik Itali kini berdepan gelombang haba utama ketiga pada musim panas tahun ini apabila suhu yang melonjak tinggi mencetuskan amaran kesihatan di seluruh negara, meningkatkan risiko kebakaran hutan serta mendorong pihak berkuasa memperkukuh langkah kecemasan.

Kementerian Kesihatan Republik Itali pada Selasa mengeluarkan amaran tahap tertinggi atau “amaran merah” di 18 bandar utama termasuk Rome, Florence, Naples, Palermo dan Catania susulan cuaca panas melampau.

Amaran tersebut menunjukkan keadaan cuaca yang boleh menjejaskan kesihatan bukan sahaja golongan berisiko seperti warga emas dan kanak-kanak, malah individu yang sihat jika terdedah kepada suhu tinggi dalam tempoh yang lama. Walaupun suhu dijangka menurun di beberapa kawasan menjelang hujung minggu ini, wilayah selatan Republik Itali diramalkan terus mengalami cuaca panas yang melampau.

Keadaan panas dan kering yang berpanjangan turut meningkatkan risiko kebakaran hutan, khususnya di selatan Republik Itali.

Di Sicily, lebih 100 penduduk dipindahkan selepas kebakaran hutan mengancam bandar Santo Stefano Quisquina berhampiran Agrigento. Tiupan angin sirocco yang kuat memburukkan lagi keadaan sehingga mengancam kemudahan penyimpanan oksigen, sebuah klinik, stesen minyak dan kilang bunga api.

Datuk Bandar Santo Stefano Quisquina, Francesco Cacciatore, menyifatkan keadaan itu sebagai “amat kritikal” dan menggesa penduduk di kawasan terjejas supaya segera berpindah.

Kebakaran tersebut turut memaksa penutupan sementara sebahagian Lebuh Raya Negeri Corleonese-Agrigentina, manakala satu lagi kebakaran memusnahkan kawasan tumbuhan Mediterranean berhampiran Agrigento.

Menurut saintis, tempoh kemarau yang lebih panjang, peningkatan suhu serta angin yang lebih kencang akibat perubahan iklim telah meningkatkan kekerapan dan intensiti kebakaran hutan, yang kini semakin menjadi fenomena biasa pada musim panas di Republik Itali.

Gelombang haba berkenaan juga memberi tekanan kepada sektor pertanian apabila petani berdepan kekurangan bekalan air, tekanan haba terhadap ternakan serta penurunan hasil tanaman.

Kerajaan Republik Itali telah mempertingkatkan langkah kecemasan di seluruh negara bagi mengurangkan risiko terhadap kesihatan awam.

Kementerian Kesihatan mengaktifkan pelan kecemasan gelombang haba kebangsaan, terus mengeluarkan buletin harian meliputi 27 bandar utama serta bekerjasama dengan pihak berkuasa wilayah dan Jabatan Perlindungan Awam. Orang ramai turut dinasihatkan supaya mengelakkan aktiviti luar pada waktu paling panas, memastikan tubuh kekal terhidrat serta mengambil berat terhadap warga emas dan jiran yang memerlukan.

Beberapa wilayah juga meneruskan sekatan kerja luar dalam sektor seperti pembinaan dan pertanian pada waktu paling panas dalam sehari. Republik Itali turut menggunakan sistem amaran awal Worklimate, yang dibangunkan bersama oleh Majlis Penyelidikan Kebangsaan (CNR) dan Institut Kebangsaan Insurans terhadap Kemalangan di Tempat Kerja (INAIL), bagi membantu melindungi pekerja daripada tekanan haba.

Penyelidik kanan Institut BioEkonomi di bawah Majlis Penyelidikan Kebangsaan, Massimiliano Pasqui, berkata gelombang haba kali ini didorong oleh corak tekanan tinggi “omega” yang berterusan, menyebabkan udara panas dari Afrika Utara terperangkap di ruang udara Republik Itali selama beberapa hari.

Beliau berkata fenomena gelombang haba yang berpanjangan dijangka menjadi semakin kerap apabila suhu global terus meningkat, sekali gus meningkatkan risiko kemarau, kebakaran hutan dan kecemasan kesihatan.

Para saintis turut menegaskan bahawa walaupun gelombang haba merupakan fenomena lazim di rantau Mediterranean pada musim panas, perubahan iklim menjadikannya lebih kerap berlaku, lebih lama berlarutan dan lebih ekstrem, sekali gus menekankan keperluan memperkukuh kesiapsiagaan kecemasan serta langkah penyesuaian jangka panjang terhadap perubahan iklim. - ©XINHUA