LONDON, 12 Ogos. - Badan sukan perlu mengutamakan pemeriksaan rutin dan pemantauan berkala kesihatan mental atlet elit, menurut nasihat Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) seperti yang dilaporkan oleh PA Media/dpa.
Menurut IOC, usaha memupuk kesihatan mental dan kesejahteraan perlu dilaksanakan secara menyeluruh, dengan aspek pemberian sokongan tepat pada masanya menjadi faktor yang kritikal.
Satu kenyataan konsensus daripada IOC menyebut bahawa saringan dan pemantauan kesihatan mental harus dilakukan pada peringkat yang telah ditetapkan serta selepas peristiwa penting, selain turut mengambil kira faktor berkaitan latihan dan pertandingan.
"Walaupun pengenalpastian gangguan kesihatan mental yang ketara dalam kalangan atlet elit kekal penting, meletakkan kesejahteraan atlet dalam satu kontinum yang dinamik menawarkan rangka kerja tambahan untuk memahami spektrum fungsi psikologi dalam kalangan populasi ini," menurut IOC dalam satu kenyataan yang diterbitkan secara dalam talian menerusi “British Journal of Sports Medicine”.
“Sebagai contoh, atlet elit mungkin mengalami reaksi tekanan sementara yang berkait dengan pertandingan, pelbagai halangan sementara yang merupakan sebahagian lumrah dan kebiasaan dalam kehidupan atlet elit, atau tempoh latihan yang intensif.
“Sehubung itu, terdapat aspek kesihatan mental penting yang perlu diberi perhatian walaupun seseorang atlet itu tidak mengalami sebarang gangguan yang boleh didiagnosis”.
Dalam usaha mengemas kini kenyataan 2019 mengenai topik ini, IOC menyatakan bahawa dapatan tersebut diperoleh daripada bukti terkini yang telah disemak oleh panel antarabangsa dianggotai 31 individu dengan kepakaran merangkumi pengalaman peribadi, klinikal dan saintifik.
Menurut IOC, matlamatnya adalah untuk beralih kepada pendekatan yang lebih seragam dan berasaskan bukti bagi pengurusan kesihatan mental dalam kalangan atlet elit.
Cadangan utama lain adalah mengesyorkan agar pengamal klinikal dan badan sukan menangani stigma, kebimbangan mengenai kerahsiaan, serta ketakutan digugurkan daripada pasukan secara proaktif, selain memastikan pengurusan gejala dan gangguan kesihatan mental disesuaikan dengan keperluan individu serta berasaskan bukti.
Ia juga menegaskan bahawa penilaian dan penjagaan kesihatan mental bagi atlet para elit perlu mengambil kira faktor ketidakupayaan, halangan aksesibiliti, sistem pengelasan serta risiko peralihan yang lebih tinggi.
IOC merumuskan: “Tanggungjawab untuk mencegah, mengenal pasti dan mengurus gejala serta gangguan kesihatan mental, di samping mempromosikan kesejahteraan, merangkumi keseluruhan ekosistem sukan elit”. - ©BERNAMA