Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Ihsan Persatuan Motosikal Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 13 Oktober. - Salah seorang ahli Persatuan Motosikal Darussalam (PEMODA), Awang Haji Abu Bakar bin Md. Arshad, akan menyertai jelajah bermotosikal ke Republik Korea bagi menghadiri 28th Korea National H.O.G. Rally 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 18 Oktober 2026.
Jelajah bermotosikal berkenaan dijadualkan bermula pada 13 Oktober 2026 dan berakhir pada 20 Oktober 2026.
Acara berkenaan akan berlangsung di Welli Hilli Park, Hoengseong, wilayah Gangwon, Republik Korea, dan menghimpunkan komuniti penunggang Harley-Davidson, khususnya ahli Harley Owners Group (H.O.G.) bagi mengeratkan silaturahim serta berkongsi minat terhadap dunia permotoran.
Antara pengisian acara termasuk aktiviti tunggangan berkumpulan, persembahan hiburan, pameran motosikal ubah suai serta pelbagai aktiviti interaktif yang memberi peluang kepada para peserta untuk berinteraksi dan bertukar pengalaman dalam suasana penuh kemesraan.
Selain menyertai acara berkenaan, penyertaan tersebut juga akan dimanfaatkan bagi mempromosi Tahun Melawat Brunei 2027 (VBY 2027) kepada komuniti penunggang motosikal antarabangsa.
Usaha berkenaan diharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai destinasi pelancongan yang mempunyai keunikan budaya, warisan, keindahan alam semula jadi serta layanan mesra masyarakat tempatan.
Penyertaan ahli PEMODA dalam acara antarabangsa berkenaan diharap dapat memperluas jaringan persahabatan dengan komuniti penunggang motosikal di luar negara, di samping membawa nama NBD ke persada permotoran antarabangsa serta menyokong usaha mempromosi negara sempena VBY 2027.