Kanada lancar rangka kerja nasional pembangunan Pusat Data Bertanggungjawab

4 Sep 2026 - 9:28am

OTTAWA, 4 Sept. - Kerajaan Kanada pada Khamis melancarkan rangka kerja nasional bagi memandu pembangunan pusat data secara bertanggungjawab di seluruh negara itu, susulan peningkatan pesat permintaan terhadap Kecerdasan Buatan (AI) dan pengkomputeran awan, lapor Xinhua.

Garis panduan baharu itu, yang bertajuk Dasar-Dasar Pembangunan Pusat Data Bertanggungjawab Kanada, menggariskan lima jangkaan utama bagi projek masa hadapan.

Ia mensyaratkan pusat data untuk mewujudkan manfaat jangka panjang kepada masyarakat setempat, memastikan kos elektrik tidak dibebankan kepada rakyat Kanada, meminimumkan penggunaan air serta kesan terhadap alam sekitar, bersikap telus mengenai impak tempatan dan memberikan nilai strategik kepada Kanada.

Sebanyak 23 syarikat utama dalam sektor teknologi, perkhidmatan awan dan telekomunikasi telah menyatakan sokongan terhadap dasar tersebut termasuk Amazon Web Services, Google, Microsoft, Meta, OpenAI, Anthropic, Cohere, Bell Canada dan TELUS. - ©BERNAMA