Kapal tangki lapor letupan di Selatan Laut Merah, anak kapal selamat

29 Jul 2026 - 12:19pm

ISTANBUL, 29 Julai. - Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) pada Selasa malam memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai aktiviti mencurigakan selepas nakhoda sebuah kapal tangki melaporkan terdengar satu letupan ketika belayar merentasi bahagian selatan Laut Merah, lapor Anadolu Ajansi.

Pusat itu memaklumkan insiden berkenaan dilaporkan oleh pegawai keselamatan syarikat selepas nakhoda kapal berkenaan terdengar satu letupan ketika melalui kawasan itu.

Menurut UKMTO, semua anak kapal dan kapal terbabit berada dalam keadaan selamat serta tiada kerosakan terhadap alam sekitar dilaporkan.

UKMTO menasihatkan semua kapal yang melalui kawasan berkenaan supaya berhati-hati dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan.

Agensi itu tidak mengenal pasti kapal tangki berkenaan atau mengaitkan letupan yang dilaporkan dengan mana-mana pihak.

Nasihat itu dikeluarkan beberapa jam selepas kumpulan Houthi di Yaman mendakwa telah menyasarkan kapal tangki minyak Arab Saudi, NCC GHAZAL, menggunakan peluru berpandu balistik sehingga memaksanya berpatah balik. Houthi bagaimanapun tidak menyatakan lokasi serangan itu berlaku, manakala tiada sebarang komen segera daripada Arab Saudi berhubung dakwaan berkenaan. - ©BERNAMA