Kapal tangki minyak terlanggar periuk api di Selat Hormuz - IRGC

12 Okt 2026 - 11:34am

ISTANBUL, 12 Okt. - Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memaklumkan bahawa sebuah kapal tangki minyak terlanggar periuk api ketika cuba melalui Selat Hormuz, menyebabkan letupan di bilik enjinnya, lapor Anadolu Ajansi.

Tentera Laut IRGC dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kapal tangki gergasi yang mampu membawa kira-kira dua juta tong minyak itu cuba melalui laluan perairan strategik berkenaan dengan sistem navigasinya dimatikan.

Menurut kenyataan itu, kapal berkenaan merupakan kapal ketiga yang terkena periuk api di laluan Selat Hormuz sejak Sabtu.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak mendedahkan identiti kapal terbabit, kewarganegaraan atau negara pendaftarannya.

Tentera Laut IRGC turut mengulangi amaran bahawa kapal yang mematikan sistem navigasi ketika melalui selat itu akan dikategorikan sebagai "kapal musuh".

Pengumuman itu dibuat selepas Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) pada akhir Ogos memaklumkan bahawa laluan perkapalan antarabangsa di Selat Hormuz telah dibuka semula susulan operasi pembersihan periuk api Iran oleh tentera AS.

Iran pada 12 Julai mengumumkan penutupan semula selat itu selepas AS menyambung serangannya pada 8 Julai.

Tehran turut mengancam untuk menyasarkan kapal yang menggunakan laluan selain yang ditetapkan pihak berkuasa Iran atau cuba melalui selat itu tanpa kebenaran. - ©BERNAMA