Kebakaran gudang kilang plastik di utara Tokyo berlarutan lebih sembilan jam

12 Okt 2026 - 11:49am

TOKYO, 12 Okt. - Kebakaran yang berlaku di sebuah gudang kilang di Wilayah Tochigi, utara Tokyo, awal Isnin masih belum dapat dipadamkan selepas lebih sembilan jam, lapor Xinhua memetik media tempatan.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Menurut NHK yang memetik polis, seorang pekerja kilang di Pekan Nakagawa menghubungi pihak bomba sejurus selepas 5 pagi waktu tempatan selepas menyedari asap keluar dari gudang berkenaan.

Kilang itu menghasilkan botol polietilena tereftalat (PET) dan produk plastik lain.

Walaupun kilang beroperasi sepanjang masa, tiada pekerja berada di dalam gudang ketika kejadian dan semua pekerja berjaya dipindahkan dengan selamat.

Sebanyak sembilan kenderaan kecemasan, termasuk jentera bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.

Setakat 2.30 petang, asap hitam dan api masih kelihatan dari gudang berkenaan, meskipun lebih sembilan jam berlalu sejak kebakaran dilaporkan. - ©BERNAMA