WASHINGTON, 24 Julai. - Amerika Syarikat (AS) akan mengenakan tarif tambahan sebanyak 10 peratus atau 12.5 peratus terhadap 60 rakan dagang yang didakwa gagal melarang serta membendung kemasukan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu diambil mengikut Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 susulan siasatan terhadap tindakan, dasar dan amalan beberapa ekonomi berkaitan import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.
Tarif berkenaan yang meliputi 99.4 peratus import AS dari ekonomi yang disiasat akan ditetapkan pada kadar sama ada 10 peratus atau 12.5 peratus, tertakluk kepada pengecualian bagi produk tertentu.
“Presiden Donald Trump menyedari bahawa pujukan moral selama beberapa dekad masih gagal menghapuskan buruh paksa daripada rantaian bekalan global.
“Amerika Syarikat telah melarang pengimportan barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa sejak hampir satu abad lalu dan menguatkuasakannya dengan tegas. Sudah terlalu lama rakan dagang kami sepatutnya mengambil tindakan sama,” kata Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer dalam kenyataan.
Pentadbiran AS pada Mac lalu melancarkan siasatan mengikut Seksyen 301 terhadap 60 rakan dagang dengan alasan mereka gagal melarang serta menguatkuasakan sekatan terhadap import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.
USTR ketika itu memaklumkan siasatan berkenaan meliputi 60 rakan dagang termasuk China, Kesatuan Eropah, Kanada, Mexico, Brazil, India, Jepun, Rusia, Arab Saudi, Korea Selatan, Switzerland, Norway, Taiwan, United Kingdom dan Türkiye.
Pada 2 Jun, USTR memutuskan bahawa amalan ekonomi yang disiasat itu adalah “tidak munasabah” serta membebankan atau menyekat perdagangan AS, sekali gus membolehkan tindakan diambil mengikut Seksyen 301. - ©BERNAMA