SYDNEY, 12 Okt. - Jumlah kes serangan terhadap anggota polis di negeri South Australia meningkat 25 peratus, walaupun beberapa kategori jenayah lain mencatatkan penurunan, menurut statistik rasmi yang dikeluarkan pada Isnin, lapor Xinhua.
Data terkini Polis South Australia menunjukkan kes serangan terhadap anggota polis ketika bertugas meningkat daripada 635 kepada 793 dalam tempoh 12 bulan berakhir Ogos 2026, sekali gus mencatatkan peningkatan bagi kali ke-12 berturut-turut.
Sementara itu, kes rompakan menurun 13 peratus daripada 501 kepada 438, selepas mencatatkan penurunan 16 peratus dalam tempoh pelaporan sebelumnya.
Kes pembunuhan dan kesalahan berkaitan turut menurun 21 peratus daripada 53 kepada 42, manakala kes kecurian di premis peruncitan berkurangan tiga peratus kepada 21,757 kes.
Bagaimanapun, kes pecah masuk kediaman meningkat daripada 5,584 kepada 5,947, manakala kes pecah masuk premis bukan kediaman bertambah daripada 3,391 kepada 3,513. Kesalahan seksual turut mencatatkan sedikit peningkatan daripada 2,704 kepada 2,718 kes.
Penolong Pesuruhjaya Polis South Australia David O'Donovan berkata penurunan berterusan kes rompakan adalah hasil usaha polis menyasarkan pesalah berulang, termasuk memastikan mereka ditahan atau dikenakan syarat ikat jamin yang ketat.
Beliau berkata polis menyedari trauma yang dialami mangsa rompakan dan akan terus berusaha mengurangkan kesalahan berkenaan. - ©BERNAMA