NEW YORK, 29 Julai. - Indeks keyakinan pengguna di Amerika Syarikat (A.S.) menurun pada Julai dan gagal memenuhi jangkaan pasaran apabila pengguna semakin berhati-hati terhadap keadaan semasa perniagaan dan pasaran buruh di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang berterusan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh The Conference Board pada Selasa, Indeks Keyakinan Pengguna susut 1.4 mata kepada 90.8 pada Julai berbanding bacaan 92.2 pada Jun yang telah disemak semula.
Ketua Ahli Ekonomi The Conference Board, Dana M. Peterson berkata, keyakinan pengguna terus menunjukkan aliran menurun secara beransur-ansur sejak penghujung 2021.
Beliau menjelaskan bahawa Indeks Situasi Semasa mencatat penurunan bagi bulan ketiga berturut-turut, manakala Indeks Jangkaan kekal berada dalam wilayah negatif. Penilaian pengguna terhadap keadaan perniagaan semasa dan pasaran buruh turut menjadi semakin lemah.
Menurut beliau lagi, pengguna tidak menjangkakan banyak perubahan positif terhadap keadaan perniagaan dalam tempoh enam bulan akan datang, walaupun jangkaan terhadap pasaran buruh menunjukkan sedikit peningkatan. Sementara itu, jangkaan terhadap pendapatan isi rumah turut sederhana, namun masih kekal optimistik secara keseluruhannya.
Indeks Situasi Semasa, yang mengukur penilaian pengguna terhadap keadaan semasa perniagaan dan pasaran buruh, merosot 3.6 mata kepada 114.9, sekali gus mencatat penurunan bagi bulan ketiga berturut-turut.
Pandangan bersih terhadap keadaan perniagaan semasa, iaitu perbezaan antara pengguna yang menyifatkan keadaan sebagai “baik” berbanding “buruk”, turut merosot 2.6 mata peratusan kepada positif 1.1 peratus, hampir hilang daripada wilayah positif.
Persepsi terhadap keadaan pekerjaan semasa juga semakin lemah apabila perbezaan antara pengguna yang berpendapat pekerjaan “banyak” dan mereka yang menyatakan pekerjaan “sukar diperoleh” menurun 0.7 mata peratusan kepada positif 3.1 peratus.
Sementara itu, Indeks Jangkaan yang mengukur prospek jangka pendek pengguna terhadap pendapatan, keadaan perniagaan dan pasaran buruh kekal tidak berubah pada paras 74.7 pada Julai.
Bagaimanapun, data terperinci menunjukkan prospek yang bercampur-campur apabila dua daripada tiga komponen indeks tersebut mencatatkan penurunan. Jangkaan bersih terhadap keadaan perniagaan susut 1.5 mata peratusan kepada negatif 3.3 peratus, manakala jangkaan bersih terhadap pendapatan isi rumah menurun 0.5 mata peratusan kepada positif 7.3 peratus.
Menurut The Conference Board, maklum balas pengguna mengenai faktor-faktor yang mempengaruhi ekonomi pada Julai masih didominasi sentimen pesimis. Walaupun kekerapan rujukan terhadap isu harga serta minyak dan gas semakin berkurangan, kebimbangan terhadap kedua-dua faktor tersebut masih kekal tinggi. - ©XINHUA