ISTANBUL, 31 Julai. - Beberapa lokasi di bandar Erbil dan Sulaymaniyah, utara Iraq menjadi sasaran serangan dron pada awal Jumaat dan mencetuskan beberapa kejadian letupan, menurut media tempatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Serangan terbaharu itu berlaku ketika utara Iraq terus berdepan krisis bahan api yang semakin meruncing susulan serangan terdahulu yang menjejaskan pengeluaran tenaga.
Keadaan itu menyebabkan pemandu terpaksa menunggu berjam-jam di stesen minyak, selain bekalan elektrik merosot dan harga gas memasak meningkat.
Di Erbil, Sulaymaniyah dan Duhok, sebahagian pemandu terpaksa menunggu semalaman untuk mendapatkan bahan api ketika kekurangan bekalan terus melanda rantau berkenaan.
Bekalan elektrik yang sebelum ini tersedia sepanjang masa kini berkurangan kepada hanya lima atau enam jam sehari selepas pengaliran gas yang terjejas memaksa loji janakuasa mengurangkan pengeluaran ketika musim panas memuncak.
Krisis itu turut mendorong pihak berkuasa mengaktifkan semula penjana elektrik kejiranan milik swasta yang sebelum ini dihentikan operasinya atas faktor alam sekitar.
Tong gas memasak pula semakin sukar diperoleh, dengan harga di pasaran gelap meningkat lebih dua kali ganda kepada antara 25,000 dengan 30,000 dinar Iraq (US$19 hingga US$23), berbanding 12,000 hingga 15,000 dinar (US$9 hingga US$11.50) sebelum serangan berlaku.
Harga petrol turut melonjak berikutan bekalan yang semakin berkurangan.
Harga petrol premium meningkat kepada 1,900 dinar (US$1.46) seliter daripada 1,550 dinar (US$1.19), manakala petrol gred pertengahan naik kepada 1,600 dinar (US$1.23) daripada 1,250 dinar (US$0.96).
Harga petrol biasa pula meningkat kepada 1,400 dinar (US$1.07) daripada 850 dinar (US$0.65).
Kerajaan Wilayah Kurdistan cuba membendung krisis itu dengan menetapkan harga siling petrol premium pada 1,200 dinar (US$0.92) seliter, petrol gred pertengahan pada 1,000 dinar (US$0.77) dan petrol biasa pada 850 dinar.
Bagaimanapun, langkah itu masih gagal mengatasi masalah kekurangan bekalan.
Banyak stesen minyak menghentikan jualan selepas kehabisan bahan api, manakala stesen yang masih beroperasi dipenuhi barisan kenderaan yang menunggu selama berjam-jam.
Ketua Kesatuan Stesen Minyak Erbil Jangi Majid berkata bandar itu memerlukan kira-kira 2.2 juta liter petrol sehari, namun ketika ini hanya menerima sejuta liter bahan api bersubsidi.
Bekalan komersial yang sebelum ini menampung kekurangan itu turut merosot selepas masalah pengeluaran menjejaskan bekalan petrol premium dan gred pertengahan.
Majid berkata kekurangan itu mendorong pemandu beralih kepada bahan api bersubsidi kerajaan yang lebih murah, sekali gus menyebabkan stesen minyak sesak dan tempoh menunggu meningkat dengan ketara.
Beliau berkata gangguan bekalan turut menjejaskan penghantaran petrol yang sebelum ini diterima dari Mosul dan menerusi kerajaan Persekutuan Iraq.
Walaupun kekurangan bekalan masih berterusan, Majid berkata permintaan terhadap petrol premium mula berkurangan dan menyuarakan keyakinan bahawa keadaan pasaran serta harga akan beransur stabil. - ©BERNAMA