Lebih 900 pekerja di projek hidrokuasa Nepal tidak dapat dihubungi

29 Og 2026 - 9:59am

HYDERABAD, 29 Ogos. - Sekurang-kurangnya 934 orang di 11 projek hidrokuasa, termasuk yang masih dalam pembinaan, tidak dapat dihubungi di dalam terowong dan loji janakuasa bawah tanah susulan banjir yang membawa kemusnahan akibat runtuhan glasier di Himalaya pada Rabu.

Media Nepal yang memetik Persatuan Pengeluar Tenaga Bebas Nepal (IPPAN) melaporkan ramai jurutera dan pekerja masih terperangkap di dalam terowong projek hidrokuasa ketika usaha mencari mangsa yang terselamat memasuki hari keempat pada Sabtu.

Menteri Dalam Negeri Nepal Sudan Gurung melawat tapak projek hidrokuasa di sepanjang Sungai Trishuli, lokasi pasukan penyelamat berusaha menyelamatkan pekerja yang terperangkap.

Angka korban akibat bencana Bhote Koshi meningkat kepada 626 orang, manakala 2,426 lagi masih hilang, menurut kemas kini Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal (NDRRMA).

Turut dilaporkan berlaku kejadian jenayah di kawasan yang terjejas teruk akibat banjir apabila pencuri mencari barangan berharga di rumah yang musnah dan antara barangan milik mangsa.

Polis Nepal menahan 29 individu dalam satu kejadian kerana mencuri wang tunai daripada sebuah peti besi yang dihanyutkan air bah.

Lebih 15,000 anggota daripada agensi bencana, tentera dan polis Nepal terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat.

Tentera Nepal memaklumkan pihaknya telah memindahkan 2,265 orang, termasuk 163 warga asing, menggunakan helikopter dan membantu membuka semula jalan yang terhalang. - ©BERNAMA