Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Perdana Menteri
MOSCOW, PERSEKUTUAN RUSIA, Sabtu, 29 Ogos. - Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof baru-baru ini telah mengadakan lawatan kerja ke Persekutuan Rusia dari 27 hingga 29 Ogos 2026, di atas jemputan daripada Setiausaha Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Sergei Shoigu.
Lawatan berkenaan adalah susulan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) yang diperbaharui di antara Jawatankuasa Keselamatan Negara, Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia pada April 2024.
Pada 28 Ogos 2026, Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan ll, telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama Tuan Yang Terutama Setiausaha Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia.
Semasa mesyuarat berkenaan, delegasi NBD dan Persekutuan Rusia telah bertukar-tukar pandangan mengenai perkara-perkara berkepentingan bersama di bawah MoU berkenaan termasuk isu-isu keselamatan di peringkat serantau dan antarabangsa serta peluang-peluang untuk mengukuhkan kerjasama di antara agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan di kedua-dua buah negara khususnya dalam menangani jenayah merentas sempadan.
Kedua-dua buah negara juga telah menzahirkan komitmen untuk merealisasikan objektif-objektif di bawah MoU berkenaan dengan mengadakan usaha-usaha kerjasama yang lebih konkrit dan bermakna, termasuk melalui hubungan yang lebih rapat di antara agensi-agensi berkaitan, pertukaran maklumat dan pengalaman, pembangunan kapasiti serta pertukaran lawatan.
Semasa mesyuarat dan lawatan kerja dari 27 hingga 29 Ogos 2026 berkenaan, pihak Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia juga telah mengaturkan beberapa siri lawatan yang berkaitan dengan hal ehwal sekuriti dan keselamatan untuk delegasi NBD di kota Moscow dan Saint Petersburg.
Turut hadir bersama Yang Berhormat semasa lawatan kerja berkenaan, Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Persekutuan Rusia, Tuan Yang Terutama Pengiran Muhammad Husaini bin Pengiran Penggawa Laila Bentara Adat Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin; Setiausaha Tetap di JPM, Dato Paduka Haji Mohd. Zalani bin Haji Ismail; Timbalan Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang), JPM, Dayang Hajah Aldila binti Haji Mohamad Salleh; serta pegawai-pegawai dari JPM dan Pasukan Polis Diraja Brunei