35 penerima dikurniakan Bintang-bintang Kebesaran NBD

30 Og 2026 - 9:32am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Awang Haji Abas

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 29 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam (NBD) kepada seramai 35 penerima, hari ini.

Atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bahawa pada Istiadat Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran NBD sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun berlangsung di Balai Singgahsana Indera Kenchana, Istana Nurul Iman, di sini, menyaksikan seramai tujuh penerima terdiri daripada empat lelaki dan tiga perempuan dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Ketiga (S.M.B).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya menyempurnakan bagi pengurniaan Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Keempat (P.S.B) kepada 21 penerima iaitu 17 lelaki dan empat perempuan yang terdiri daripada warga Perkhidmatan Awam daripada pelbagai kementerian juga agensi swasta.

Sementara itu, seramai tujuh penerima terdiri daripada dua lelaki dan lima perempuan selepas itu dikurniakan Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Darussalam Yang Amat Bersinar Darjah Kelima (P.U.B).

Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Bagi memberkati istiadat berkenaan, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.

Juga berangkat dan hadir, Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Pengiran-Pengiran Peranakan, Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, para perwakilan negara sahabat serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran berkenaan bukan sahaja menjadi tanda penghargaan tertinggi terhadap sumbangan dan khidmat bakti para penerima, malah mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan mereka dalam mendukung kemajuan, pembangunan serta kesejahteraan negara selaras dengan usaha bersama dalam memperkukuh pembangunan dan kemajuan NBD.

Selain itu, Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran itu sekali gus menjadi lambang penghargaan terhadap khidmat dan pengorbanan para penerima, di samping menyemarakkan semangat untuk terus menyumbang kepada negara dan masyarakat dengan penuh amanah, dedikasi dan tanggungjawab.