PHNOM PENH, 23 Julai. - Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) Kash Patel berikrar memperkukuh kerjasama dengan Kemboja bagi membanteras sindiket penipuan siber ketika penipuan dalam talian mengakibatkan kerugian berbilion dolar di seluruh Asia Tenggara.
Kerjasama itu dicapai menerusi pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet di Peace Palace di Phnom Penh pada Rabu, lapor portal berita dalam talian Fresh News.
Kemboja dan AS berusaha mengguna pakai pendekatan baharu bagi membanteras jenayah rentas sempadan, penyeludupan dadah dan penipuan dalam talian yang mengancam Asia Tenggara.
Lawatan Patel diadakan beberapa hari selepas Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) memberi amaran bahawa jumlah kerugian tahunan akibat jenayah penipuan di Asia Timur, Asia Tenggara, Australia dan New Zealand dianggarkan antara USD88 bilion (RM360 bilion) hingga USD114 bilion (RM466 bilion) pada 2025.
UNODC turut menganggarkan nilai pasaran runcit tahunan gabungan bagi methamphetamine, ketamin dan heroin dianggarkan antara USD75 bilion (RM307 bilion) hingga USD110 bilion (RM450 bilion).
Organisasi itu dalam laporannya yang dikeluarkan awal minggu ini menyatakan bahawa sindiket jenayah telah berubah menjadi rangkaian yang beroperasi seperti syarikat korporat, sekali gus mencabar tadbir urus, kestabilan ekonomi dan pembangunan.
"Apa yang kita saksikan ialah satu peralihan, apabila kumpulan yang sebelum ini beroperasi dalam kawasan operasi dan pengkhususan jenayah masing-masing kini bergerak merentasi pelbagai pasaran haram secara serentak dengan bergantung pada rangkaian perkhidmatan yang sama," kata Wakil Serantau UNODC bagi Asia Tenggara dan Pasifik Delphine Schantz.
Laporan bertajuk 'An Interconnected Ecosystem : Transnational Organised Crime Threat Assessment for South-East Asia July 2026' itu diterbitkan pada 21 Julai.
Patel tiba di Kemboja selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pusat Penipuan selama dua hari di Bangkok yang dianjurkan bersama oleh Thailand dan AS pada awal minggu ini. - ©BERNAMA