Mexico elak tindakan balas terhadap tarif AS

25 Jul 2026 - 7:15am

MEXICO CITY, 25 Julai. - Mexico tidak akan mengenakan tarif balas terhadap langkah baharu Amerika Syarikat (AS), sebaliknya memilih untuk mengelakkan ketegangan perdagangan daripada terus meningkat, kata Menteri Ekonomi Marcelo Ebrard pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Kami memilih untuk tidak meningkatkan konflik kerana jika kita mengenakan tarif, mereka akan mengenakan lebih banyak tarif atau menaikkan kadarnya. Pada akhirnya, amat sukar untuk mengatasi ekonomi terbesar dunia,” kata Ebrard kepada Formula Noticias.

Pentadbiran Presiden Donald Trump mengenakan tarif baharu ke atas 60 ekonomi mengikut Seksyen 301 Akta Perdagangan AS 1974 susulan siasatan berkaitan langkah negara terbabit untuk menghalang import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa.

Mulai Jumaat, tarif terhadap negara-negara berkenaan tidak lagi dikenakan mengikut Seksyen 122 yang membenarkan surcaj bagi menangani masalah pembayaran antarabangsa, sebaliknya dilaksanakan di bawah Seksyen 301.

Di bawah mekanisme baharu itu, eksport Mexico yang tidak diliputi Perjanjian Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA) akan dikenakan tarif 10 peratus. Bagaimanapun, sebagai rakan dagang terbesar dan terdekat AS, Mexico masih menikmati perlindungan menerusi USMCA yang mengecualikan kira-kira 85 peratus eksportnya daripada tarif.

Barangan Mexico yang tidak diliputi perjanjian itu pula sudah pun dikenakan tarif di bawah Seksyen 122 sebelum ini. Oleh itu, langkah baharu pentadbiran Trump dijangka tidak menyebabkan eksport Mexico dikenakan tarif tambahan.

Presiden Claudia Sheinbaum berkata keputusan menaikkan tarif dibuat secara unilateral oleh kerajaan AS dan bukan hanya menyasarkan Mexico, malah negara-negara lain di seluruh dunia.

“Apa yang kami usahakan adalah untuk mengekalkan kedudukan yang lebih baik berbanding negara lain. Pada masa ini, kami masih berada dalam kedudukan itu kerana 80 peratus daripada eksport kami tidak dikenakan sebarang tarif,” kata beliau pada sidang media Jumaat. - ©BERNAMA