Muat turun global aplikasi Republik Korea cecah 1.8 bilion pada 2025 - Laporan

5 Og 2026 - 7:52am

SEOUL, 5 Ogos. - Jumlah muat turun aplikasi mudah alih Republik Korea menerusi Google Play Store di seluruh dunia pada tahun lepas adalah lebih dua kali ganda berbanding jumlah muat turun dalam negara, menurut laporan industri pada Rabu, lapor Agensi Berita Yonhap.

Jumlah muat turun global itu mencecah 1.8 bilion pada 2025, kira-kira 2.5 kali ganda berbanding 730 juta yang direkodkan dalam negara, menurut laporan firma perunding Public First yang dipetik Google Korea.

Mengikut negara, India mencatat jumlah tertinggi sebanyak 365 juta, diikuti Republik Indonesia dengan 131 juta dan Brazil sebanyak 123 juta.

Laporan itu turut menyatakan bahawa Google Play Store dan ekosistem Android menjana pendapatan USD69 bilion di Republik Korea pada tahun lepas.

Republik Korea kini mempunyai antara komuniti pembangun terbesar di dunia dan menduduki tempat pertama dari segi jumlah pembangun aktif pada 2025, naik dua anak tangga berbanding tahun sebelumnya.

Angka terkini itu turut menunjukkan bahawa Kecerdasan Buatan (AI) generatif mampu meningkatkan produktiviti pembangun aplikasi sebanyak 33 peratus, manakala pembangun yang menggunakan alat AI Google dapat menjimatkan purata 9.2 jam masa bekerja setiap minggu. - ©BERNAMA