REPUBLIK SINGAPURA, 31 Julai. - Pasaran buruh Republik Singapura terus berkembang pada suku kedua 2026 dengan pertambahan 10,700 pekerja, berbanding 9,400 pada suku sebelumnya, sekali gus mencatat pertumbuhan bagi suku ke-19 berturut-turut, menurut data awal Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Kementerian itu berkata pekerjaan dalam kalangan penduduk terus meningkat, namun pada kadar lebih perlahan berbanding suku sebelumnya, terutama dalam sektor perkhidmatan penting dan awam.
“Selepas pertumbuhan pekerjaan bukan pemastautin yang lebih perlahan pada suku pertama 2026, pertumbuhan pekerjaan pada suku kedua didorong terutamanya oleh golongan bukan pemastautin, khususnya dalam sektor seperti pembinaan dan pembuatan,” menurut MOM dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut kementerian itu, kadar pengangguran kekal rendah dan stabil pada Jun 2026, iaitu 2.0 peratus secara keseluruhan.
Jumlah pekerja yang diberhentikan pula meningkat daripada 3,830 pada suku pertama kepada 4,500 pada suku kedua, sekali gus menyebabkan kadar pemberhentian naik daripada 1.6 kepada 1.9 bagi setiap 1,000 pekerja.
MOM berkata peningkatan itu tertumpu dalam beberapa sektor berorientasikan pasaran luar dan didorong terutamanya oleh penyusunan semula perniagaan.
“Namun begitu, jumlah pemberhentian pekerja kekal jauh lebih rendah berbanding paras yang lazim dicatatkan ketika kemerosotan ekonomi,” menurut kenyataan itu.
Mengenai prospek pasaran buruh, MOM berkata jangkaan yang semakin baik terhadap pengambilan pekerja, upah dan pemberhentian pekerja menunjukkan permintaan tenaga kerja kekal berdaya tahan, meskipun syarikat terus mengambil pendekatan berhati-hati berikutan ketidaktentuan ekonomi dan penyusunan semula perniagaan dalam beberapa sektor. - ©BERNAMA