SYDNEY, 28 Okt. - Kebanyakan kes penderaan fizikal kanak-kanak di Australia berlaku dalam lingkungan keluarga dan sebelum kanak-kanak mencapai usia 10 tahun, menurut satu kajian Australia, lapor Xinhua.
Kajian itu mendapati bahawa satu daripada empat rakyat Australia berusia 16 hingga 24 tahun pernah mengalami penderaan fizikal oleh ahli keluarga.
Ahli keluarga dikenal pasti sebagai pelaku dalam 85 peratus daripada kes yang dilaporkan manakala empat peratus berlaku dalam persekitaran institusi dan lima peratus melibatkan kedua-dua persekitaran keluarga dan institusi.
Dalam kalangan mereka yang didera sebelum berusia 10 tahun, kedua-dua ibu bapa dikenal pasti sebagai pelaku dalam satu daripada tiga kes.
Penderaan yang melibatkan kedua-dua ibu bapa juga dikaitkan dengan permulaan penderaan pada usia paling muda serta tempoh penderaan yang paling lama, menurut penemuan kajian yang diterbitkan dalam jurnal Child Maltreatment.
Penyelidik berkata penderaan fizikal kanak-kanak kekal sebagai isu kesihatan awam utama di seluruh dunia, dengan kesan buruk yang ketara terhadap kesejahteraan mental, fizikal dan sosial sepanjang hayat.
Mereka berkata usaha pencegahan perlu diperluas melangkaui institusi dan memberikan penekanan yang lebih besar terhadap persekitaran rumah.
Kajian berkenaan menganalisis data daripada 8,503 rakyat Australia berusia 16 tahun dan ke atas yang mengambil bahagian dalam Kajian Penderaan Kanak-Kanak Australia, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Universiti Curtin pada Rabu.
Daripada jumlah itu, seramai 2,623 orang melaporkan pernah mengalami penderaan fizikal semasa zaman kanak-kanak. - ©BERNAMA