BISHKEK (KYRGYZSTAN), 1 Sept. - Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev menekankan kepentingan strategik untuk memperkukuh perkongsian perdagangan, ekonomi, dan pelaburan dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), lapor Agensi Berita Qazinform.
Berucap pada Sidang Kemuncak SCO di Bishkek, Tokayev berkata jumlah dagangan dalam kalangan negara anggota SCO kini secara berperingkat menghampiri USD1 trilion.
Tokayev berkata kesakinghubungan ekonomi pada masa ini masih belum mencerminkan potensi sebenar para anggota SCO secara menyeluruh.
Beliau menegaskan keperluan untuk memanfaatkan sumber, keupayaan pengeluaran, serta potensi teknologi negara anggota SCO, selain mewujudkan titik pertumbuhan baharu dan hubungan perniagaan yang mampan.
Kazakhstan menyokong pembentukan ruang perdagangan dan pelaburan SCO yang lebih luas dengan halangan minimum, prosedur digital, serta kesalinghubungan pengangkutan dan logistik yang maju.
Ketua negara itu turut mencadangkan pengenalan satu mekanisme projek perintis konsortium perindustrian, yang membolehkan negara anggota melaksanakan projek mengikut kesediaan masing-masing tanpa perlu menunggu kesemua peserta. Projek yang berjaya kemudiannya boleh diperluaskan ke peringkat pertubuhan.
Tokayev berkata pelancaran zon perdagangan rentas sempadan berasaskan pusat kerjasama sedia ada akan menjadi medan ujian bagi pertukaran perdagangan yang dipermudah, prosedur digital, serta mekanisme penyelesaian moden.
Beliau berkata Kazakhstan menyokong inisiatif Republik Rakyat China untuk menubuhkan Bank Pembangunan SCO, serta mencadangkan agar sumber bank berkenaan ditumpukan kepada projek infrastruktur, teknologi, dan perindustrian. Tokayev turut menawarkan Kazakhstan sebagai tuan rumah bagi ibu pejabat bank berkenaan sekiranya konsensus dicapai. - ©BERNAMA