Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 1 September. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) baru-baru ini telah menerima kunjungan muhibah daripada Ketua Hakim Mahkamah Besar Republik Filipina, Yang Amat Arif Alexander G. Gesmundo bersama delegasi daripada Philippine Judicial Academy (PHILJA).
Hadir bagi mewakili Jabatan Kehakiman Negara, Negara Brunei Darussalam (NBD) bersama delegasi berkenaan, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar, Yang Arif Dato Paduka Awang Haji Abdullah Soefri bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Pemangku Ketua Pendaftar Mahkamah Besar, Dayang Hajah Hazarena binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah.
Turut hadir bagi mewakili UNISSA, Penolong Rektor (Akademik) UNISSA, Profesor Dr. Dayang Siti Sara binti Haji Ahmad; Dekan Fakulti Undang-Undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah, UNISSA, Profesor Madya Dr. Ahmad Masum; serta Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa, UNISSA, Dr. Mohammad Hilmy Baihaqy bin Haji Awang Yussof.
Dalam rangka kunjungan berkenaan, taklimat ringkas mengenai UNISSA telah disampaikan oleh Penolong Rektor (Akademik) UNISSA, Profesor Dr. Dayang Siti Sara; dan seterusnya taklimat mengenai program-program akademik berkaitan perundangan telah disampaikan oleh Dekan Fakulti Undang-Undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah, UNISSA, Profesor Madya Dr. Ahmad Masum.
Diikuti dengan lawatan ke Perpustakaan UNISSA.
Kunjungan muhibah berkenaan turut memperlihatkan hubungan erat antara institusi kehakiman dan akademik kedua-dua buah negara, di samping menyediakan ruang bagi pertukaran pengalaman dan pandangan dalam bidang perundangan, kehakiman dan pendidikan undang-undang.