Meningkatkan rasa kecintaan terhadap Rasulullah

2 Sep 2026 - 9:02am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Mohammad Hasif Matzin

BERAKAS, Selasa, 1 September. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan - Perkhidmatan; Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan serta Pusat Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP) telah mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pada hari ini bertempat di Dewan Utama, Kementerian Pendidikan. 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Ketua Unit Pendidikan Islam dan Bahasa Arab, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Manaf.

Majlis disusuli dengan Ceramah Khas bertajuk 'Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Murabbi Ummah : Memperkukuh Akidah, Membentuk Akhlak dan Memperkasa Pendidikan' yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Awang Muhammad Safwan bin Mohd. Suffian.

Majlis turut diserikan dengan Dikir Marhaban yang diketuai kumpulan dikir terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan.

Diikuti dengan penyampaian cenderamata kepada penceramah jemputan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis sebelum majlis diakhiri dengan bacaan Doa Penutup.

Sambutan berkenaan merupakan antara acara Hari-hari Kebesaran Islam yang diraikan Kementerian Pendidikan pada setiap tahun bagi merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, selain meningkatkan rasa kecintaan terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Pada tahun ini, majlis sambutan membawa tema 'Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Suluh Akidah'.

Turut hadir, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Naib-naib Canselor, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan.