KUALA LUMPUR, 28 Julai. - Di sebalik gesaan Ultras Malaya (UM) supaya memboikot perlawanan membabitkan Harimau Malaya, masih ada penyokong setia yang hadir ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini bagi menyatakan sokongan kepada skuad kebangsaan pada aksi kedua Kumpulan 'B' Piala ASEAN 2026 menentang Republik Demokratik Rakyat Lao malam ini.
Walaupun jumlah penonton tidak memenuhi kapasiti stadium dan suasana kurang meriah tanpa sorakan padu 'ekor' Harimau Malaya, mereka hadir bagi memberikan suntikan semangat kepada skuad kendalian ketua jurulatih sementara Tan Cheng Hoe, dengan beranggapan pemain tidak seharusnya menjadi mangsa kepada kemelut yang melanda bola sepak negara.
Bagi pekerja swasta, Raja Muhammad Faiz Raja Jamalizan, 24, isu di luar padang tidak sepatutnya menjejaskan sokongan kepada pemain kerana mereka memerlukan kehadiran penyokong di stadium.
"Bagi saya dan kawan-kawan, memang tidak perlu boikot. Kalau bukan kita yang sokong pemain kita, siapa lagi," katanya ketika ditemui di pekarangan stadium sebelum sepak mula dijadualkan berlangsung pada 9 malam ini.
Syazwani Sardon, 39, pula membuktikan sokongannya terhadap Harimau Malaya tidak pernah luntur apabila sanggup hadir ke stadium walaupun sedang sarat mengandung enam bulan.
Pada masa sama, Syazwani turut berharap lebih ramai penyokong akan memenuhi stadium bagi perlawanan terakhir menentang Republik Filipina pada 8 Ogos ini.
Terdahulu, Ultras Malaya menerusi satu kenyataan di media sosial menggesa penyokong mengosongkan stadium bagi semua perlawanan Harimau Malaya sehingga kemelut melanda bola sepak negara diselesaikan.
Pada Januari lepas, semua ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM bagi penggal 2025-2029 mengumumkan peletakan jawatan secara beramai-ramai atas dasar kolektif dan sukarela.
Keputusan itu dibuat sebulat suara, dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi tanpa kepentingan peribadi atau jawatan, dan dilihat sebagai langkah berhemah serta berprinsip susulan situasi semasa yang menarik perhatian umum berkaitan isu pemain warisan, selain untuk memelihara integriti FAM.
Malaysia kini menghuni tangga kedua Kumpulan 'B' dengan mengumpul tiga mata, di belakang pendahulu Thailand yang memiliki kelebihan perbezaan jaringan selepas masing-masing memenangi perlawanan pembukaan.
Republik Filipina berada di tempat ketiga manakala Republik Kesatuan Myanmar dan Republik Demokratik Rakyat Lao menghuni dua tangga tercorot tanpa sebarang mata. Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke peringkat separuh akhir. - ©BERNAMA