PM Thailand arah tingkatkan operasi terhadap kumpulan jenayah di wilayah sempadan selatan

3 Og 2026 - 11:45am

BANGKOK, 3 Ogos. - Thailand mengarahkan agensi keselamatan memperhebat operasi terhadap kumpulan jenayah di wilayah sempadan selatan negara itu susulan pertempuran maut terbaharu di Narathiwat pada Ahad yang mengorbankan dua anggota polis dan mencederakan empat yang lain.

Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Anutin Charnvirakul berkata pihak berkuasa telah diarahkan mengambil semua langkah yang perlu bagi mengawal keadaan, mencegah keganasan lanjut serta membanteras pihak yang bertanggungjawab mengikut lunas undang-undang.

Beliau berkata agensi keselamatan telah diberikan arahan yang jelas untuk bertindak tegas, sambil menambah bahawa anggota di lapangan mempunyai kuasa operasi sepenuhnya dan tidak perlu mendapatkan kelulusan lanjut daripada kerajaan sebelum mengambil tindakan.

"Ketua tentera darat dan timbalan ketua polis negara mengetuai pasukan ke kawasan berkenaan bagi menyelia operasi tindak balas," katanya kepada pemberita di Kementerian Dalam Negeri pada Isnin.

Anutin merujuk kepada pertempuran antara anggota polis dan sindiket pengedaran dadah di daerah Tak Bai, Narathiwat, yang menyaksikan Ketua Tentera Darat Jen Pana Klaewplodthuk dan Timbalan Ketua Polis Negara Pol Jen Samran Nuanma menyelia operasi.

Beliau menambah bahawa pihaknya turut mengarahkan pihak berkuasa wilayah menyelaraskan bantuan dan memastikan kebajikan penduduk yang terjejas akibat keganasan itu.

Ketika ditanya sama ada tindakan memperhebat operasi terhadap kumpulan jenayah di wilayah sempadan selatan serta penangguhan dialog damai boleh memburukkan keadaan, Anutin berkata rundingan damai dan penguatkuasaan undang-undang perlu diteruskan secara serentak.

"Proses dialog mesti diteruskan, manakala operasi pencegahan dan pembanterasan juga perlu diteruskan," katanya.

Menjawab dakwaan bahawa pergolakan di tiga wilayah sempadan selatan bukan sahaja berkaitan kumpulan pemisah, malah turut melibatkan rangkaian pengedaran dadah dan penyeludupan, perdana menteri itu berkata beliau telah mengarahkan operasi besar-besaran membanteras dadah.

Keganasan terbaharu itu berlaku selepas Thailand pada 28 Julai mengumumkan penangguhan rundingan damai yang dirancang dengan kumpulan pemberontak susulan peningkatan serangan di wilayah sempadan selatan. - ©BERNAMA