SYDNEY, 16 Julai. - Ratusan pekerja syarikat perlombongan gergasi Australia, BHP, melancarkan mogok pada petang Khamis di pelabuhan bijih besi terbesar negara itu susulan pertikaian mengenai gaji, lapor Xinhua.
Kira-kira 200 pekerja BHP yang diwakili kesatuan sekerja di Port Hedland, di wilayah utara Pilbara, Australia Barat (WA), yang merupakan antara hab eksport bijih besi terbesar di dunia, menyertai mogok menghentikan kerja selama lapan jam bermula 2 petang waktu tempatan pada Khamis.
Mogok itu, yang disifatkan oleh Australian Broadcasting Corporation sebagai tindakan perusahaan paling besar dalam industri perlombongan WA pada abad ini, berlaku selepas sembilan bulan rundingan antara BHP dan kesatuan sekerja berhubung perjanjian perundingan bersama perusahaan yang baharu bagi pekerja di pelabuhan berkenaan.
Gabungan kesatuan sekerja yang mewakili pekerja BHP di Port Hedland berkata perjanjian baharu itu perlu mengiktiraf kemahiran khusus, keadaan kerja yang mencabar serta pengorbanan peribadi yang tinggi ditanggung oleh para pekerja.
Mogok itu berlaku serentak dengan pengumuman BHP pada Khamis bahawa pengeluaran bijih besinya mencatat rekod tertinggi sebanyak 264.7 juta tan bagi tahun kewangan 2025-2026.
"Kami menamatkan tahun ini dengan prestasi kukuh menerusi operasi yang selamat dan boleh dipercayai, selain mencatat beberapa rekod prestasi di seluruh operasi syarikat," kata Ketua Pegawai Eksekutif BHP Brandon Craig dalam satu kenyataan. - ©BERNAMA