Republik Rakyat China hantar kumpulan ketiga pasukan perubatan ke DR Congo bagi kawal Ebola

3 Og 2026 - 11:46am

BEIJING, 3 Ogos. - Republik Rakyat China menghantar kumpulan ketiga pasukan perubatan ke Republik Demokratik Congo (DR Congo) pada awal pagi 1 Ogos bagi membantu negara itu mengawal penularan wabak Ebola.

Misi terbaharu itu dilaksanakan ketika DR Congo terus berusaha membendung wabak paling buruk dalam sejarah negara itu, yang setakat ini mencatatkan lebih 3,300 kes jangkitan serta hampir 1,500 kematian. 

Pasukan perubatan Republik Rakyat China itu akan menyediakan sokongan teknikal yang menyeluruh di beberapa lokasi, termasuk dalam aspek penyelarasan dasar, penilaian wabak, saringan dan pemantauan, selain rawatan klinikal serta perkhidmatan makmal.

DR Congo masih diklasifikasikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai kawasan berisiko tinggi berikutan ancaman penularan wabak yang berterusan. - ©BERNAMA