BEIJING, 12 Okt. - Republik Rakyat China bersedia bersinergi dengan Republik Sosialis Viet Nam bagi memajukan kerjasama dua hala yang saling menguntungkan dalam pelbagai bidang demi pembinaan komuniti berkongsi nasib Republik Rakyat China - Republik Sosialis Viet Nam, kata Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) Wang Huning.
Beliau berkata langkah itu berpandukan hala tuju strategik yang ditetapkan pemimpin tertinggi Parti dan negara kedua-dua pihak, serta enam matlamat utama, iaitu 'membina rasa saling percaya, mengukuhkan kerjasama keselamatan, memperkasa kerjasama dalam bidang yang substantif, menjana impak sosial yang kondusif, meningkatkan penyelarasan pelbagai hala dan menangani perselisihan secara berhemah'.
Beliau berkata demikian ketika bertemu dengan Pengerusi Perhimpunan Kebangsaan Vietnam Tran Thanh Man di sini pada Ahad.
Wang berkata Presiden Republik Rakyat China Xi Jinping mengekalkan komunikasi strategik yang rapat dengan Presiden Republik Sosialis Viet Nam To Lam sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kedua-dua pemimpin turut bekerjasama memajukan hubungan Republik Rakyat China - Republik Sosialis Viet Nam ketika dunia mengalami perubahan yang belum pernah berlaku dalam tempoh seabad.
Menurut Wang, CPPCC berhasrat memperkukuh pertukaran dan kerjasama dengan Vietnam bagi menyokong usaha pemodenan di kedua-dua negara.
Sementara itu, Tran Thanh Man berkata hubungan Republik Sosialis Viet Nam - Republik Rakyat China terus berkembang dengan stabil di bawah hala tuju strategik pemimpin tertinggi kedua-dua negara.
Beliau berkata kerjasama dua hala juga semakin produktif, didorong oleh rasa saling percaya, sokongan rakyat serta hubungan ekonomi yang kukuh.
Beliau turut mengucapkan tahniah atas pencapaian besar Republik Rakyat China dan menegaskan semula komitmen Republik Sosialis Viet Nam terhadap dasar Satu China.
Selain itu, beliau menzahirkan kesediaan Perhimpunan Kebangsaan Vietnam untuk mempererat hubungan persahabatan dengan pelbagai lapisan masyarakat Republik Rakyat China bagi memacu pembinaan komuniti berkongsi nasib Republik Sosialis Viet Nam - Republik Rakyat China. - ©BERNAMA