REPUBLIK SINGAPURA, 12 Okt. - Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mempertingkat langkah kesiapsiagaan menghadapi jerebu di masjid, madrasah dan tadika berasaskan masjid bagi melindungi jemaah, pelajar serta kakitangan sekiranya keadaan bertambah buruk.
MUIS dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan bahawa masjid akan terus dibuka untuk solat berjemaah harian dan solat Jumaat dengan langkah berjaga-jaga yang sewajarnya dilaksanakan.
"Sekiranya Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam mencecah tahap sangat tidak sihat (201 hingga 300), masjid akan menggantung program dan aktiviti luar yang tidak penting.
"Pengaturan solat juga mungkin disesuaikan mengikut keadaan jerebu semasa, kemudahan dalaman yang tersedia serta nasihat kesihatan kebangsaan," menurut kenyataan itu.
MUIS memaklumkan bahawa madrasah dan tadika berasaskan masjid turut dinasihatkan supaya mematuhi garis panduan pengurusan jerebu yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).
"Langkah itu termasuk menyesuaikan aktiviti luar, menyediakan pengaturan yang bersesuaian di dalam bangunan serta memantau kesejahteraan pelajar dan kakitangan.
"Ibu bapa akan dimaklumkan oleh institusi masing-masing mengenai sebarang perubahan terhadap aktiviti atau pengaturan persekolahan, jika perlu," menurut MUIS.
Sementara itu, kualiti udara di Republik Singapura kekal pada tahap tidak sihat pada Isnin, dengan bacaan PSI 24 jam antara 104 hingga 147 setakat 1 tengah hari, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Bacaan PSI 24 jam mencatatkan 147 di kawasan tengah dan barat, 133 di timur, 115 di selatan serta 104 di utara. - ©BERNAMA