BUCHAREST, 4 Ogos. - Tentera Romania meletupkan sebuah batu besar di bahagian anak Sungai Danube dalam usaha meningkatkan aliran air ke loji kuasa nuklear Cernavoda, selepas paras air yang sangat rendah meningkatkan risiko penutupan loji berkenaan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Loji itu, yang bergantung sepenuhnya kepada Sungai Danube bagi mendapatkan air pendingin, terancam berikutan paras air sungai yang merosot secara mendadak akibat kemarau.
Anggota tentera meletupkan batu berkenaan di anak Sungai Danube berhampiran Kampung Izvoarele, kira-kira 50 kilometer di hulu loji itu. Batu itu mula kelihatan timbul apabila paras air semakin surut.
Serpihan batu berkenaan akan diangkut menggunakan tongkang dalam tempoh dua hari akan datang dan ditenggelamkan di lokasi yang ditetapkan untuk menaikkan paras air, sekali gus meningkatkan aliran air ke arah loji yang terletak di timur Romania itu, kata pihak berkuasa.
Menteri Pertahanan Radu Miruță menyifatkan letupan itu sebagai satu kejayaan dan berharap operasi berkenaan akhirnya dapat membekalkan air yang mencukupi untuk memastikan loji itu terus beroperasi.
Beliau berkata projek itu juga akan menambah baik laluan navigasi di Sungai Danube, sambil memaklumkan pihak tentera telah berusaha untuk mengalihkan batu berkenaan selama 30 tahun namun tidak berjaya.
Sekiranya lencongan separa sungai itu gagal, loji berkenaan perlu ditutup selewat-lewatnya pada Khamis, kata Miruță.
Satu daripada dua reaktor Cernavoda dihentikan operasinya minggu lepas berikutan kekurangan air pendingin.
Pihak berkuasa sebelum ini turut mempertimbangkan untuk menutup reaktor kedua, namun memilih untuk mengalihkan lebih banyak air dari Sungai Danube.
Sungai itu kini hanya membawa kira-kira satu pertiga daripada purata aliran musimannya, dan paras air dijangka terus menurun dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Loji kuasa nuklear Cernavoda menjana kira-kira 10 juta megawatt-jam tenaga elektrik setahun, sekali gus membekalkan kira-kira 20 peratus daripada permintaan elektrik Romania. - ©BERNAMA