Seorang maut, kapal bawa bahan kimia terbakar di perairan Republik Indonesia

1 Sep 2026 - 10:57am

JAKARTA, 1 Sept. - Seorang anak kapal meninggal dunia manakala 13 lagi berjaya dipindahkan selepas sebuah kapal yang membawa bahan kimia dan peralatan berat terbakar di perairan Pulau Kabaena, wilayah Sulawesi Tenggara, Republik Indonesia pada Selasa.

Ketua Operasi Pejabat Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Kendari, Saiful berkata pihak agensi menerima maklumat berhubung kebakaran yang melibatkan kapal KM Legenda Nusantara 99 pada 8.35 pagi waktu tempatan dan segera mengerahkan pasukan penyelamat bagi menjalankan pemindahan perubatan.

"Kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran bahan kimia di atas kapal yang dalam pelayaran membawa bahan kimia dan peralatan berat dari Jakarta ke Morowali," katanya menurut laporan agensi berita Antara.

Saiful mengenal pasti mangsa yang terkorban sebagai pegawai kedua, John Petro, manakala kapten kapal Sahriar dan juruminyak Yudi Bagus mengalami keracunan bahan kimia dan memerlukan bantuan perubatan kecemasan.

Beliau berkata kesemua mereka yang berada di atas kapal pada mulanya diselamatkan oleh sebuah kapal yang kebetulan lalu di kawasan itu sebelum pasukan Basarnas digerakkan ke lokasi pertemuan di perairan Tampo, Sulawesi Tenggara, untuk melaksanakan pemindahan perubatan.

Mangsa yang terselamat serta mayat anak kapal yang terkorban kemudiannya dibawa ke darat. - ©BERNAMA