LUSAKA, 31 Julai. - Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyerahkan bekalan perubatan penting kepada Zambia pada Khamis bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan tahap kesediaan negara itu dalam menghadapi virus Ebola serta penyakit demam berdarah lain, lapor Xinhua.
Bekalan yang diserahkan di Lusaka, ibu negara Zambia itu merangkumi peralatan perlindungan diri (PPE), bahan pencegahan dan kawalan jangkitan, serta pelbagai keperluan perubatan lain.
Pada majlis penyerahan itu, wakil UNICEF di Zambia Saja Abdullah berkata langkah kesiapsiagaan adalah penting walaupun Zambia belum merekodkan sebarang kes Ebola setakat ini.
"Hari ini bukan sekadar penyerahan bekalan, ia adalah pelaburan dalam kesiapsiagaan sebelum berlakunya kecemasan. Ia bertujuan melindungi petugas kesihatan, menjaga keselamatan komuniti dan memastikan kanak-kanak terus menerima perkhidmatan penting yang mereka perlukan," katanya.
Mengucapkan terima kasih kepada UNICEF atas sumbangan tersebut, Setiausaha Tetap bagi Perkhidmatan Teknikal di Kementerian Kesihatan Zambia, Kennedy Lishimpi, berkata ia akan memperkukuhkan kesiapsiagaan kesihatan awam negara itu dalam memberikan respons terhadap wabak.
Beliau berkata bekalan itu akan diagihkan ke wilayah, daerah, kemudahan kesihatan dan pintu masuk utama yang dikenal pasti sebagai keutamaan, yang berpandukan penilaian risiko kebangsaan serta pelan kesiapsiagaan negara. - ©BERNAMA