25 peserta layak ke peringkat akhir Musabaqah Menghafaz Al-Quran

27 Nov 2026 - 7:20am

Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 November. – Seramai 25 peserta daripada keseluruhan 72 peserta berjaya melayakkan diri ke Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah yang akan diadakan pada Januari 2027 nanti.

Kesemua peserta yang terpilih terdiri daripada lima peserta bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Pengerusi Jemaah Hakim Musabaqah, Awang Haji Mohammad Hashim bin Haji Abdullah pada Majlis Pengumuman Keputusan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1448H yang berlangsung di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, petang tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian cenderamata dan sijil kepada para peserta serta hakim musabaqah, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Tingkat I, Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong, Awang Haji Manan bin Haji Osman.

Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Musabaqah berkenaan, diikuti dengan pengumuman keputusan oleh Pengerusi Jemaah Hakim Musabaqah.

Terdahulu, musabaqah peringkat separuh akhir kebangsaan tersebut berlangsung selama tiga hari berturut-turut, bermula 23 hingga 25 November 2026, bertempat di Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Blok 2H, Tingkat 7, Kondominium Ong Sum Ping, Jalan Ong Sum Ping, Bandar Seri Begawan.

Antara objektif penganjuran musabaqah berkenaan adalah untuk menggalakkan umat Islam di negara ini agar terus mencintai Al-Quran melalui hafazan serta menjadikannya sebagai amalan harian, di samping menambah bilangan huffaz di Negara Brunei Darussalam.

Musabaqah tersebut juga bertujuan mendorong dan membantu para peserta serta orang ramai untuk memahami maksud yang terkandung dalam Al-Quran, termasuk fakta-fakta surah, nasihat, pengajaran dan hukum-hukum tajwid, di samping memperoleh pahala serta ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata’ala.