Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BERAKAS, Sabtu, 10 Oktober. - Seramai 49 peserta daripada pelbagai latar belakang berjaya menamatkan Bengkel Fotografi selama lima hari yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Berakas, di sini.
Peserta bengkel terdiri daripada golongan belia, pegawai kerajaan, pekerja sektor swasta, mahasiswa institusi pengajian tinggi serta orang perseorangan.
Bengkel berkenaan dianjurkan oleh DBP melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan dengan kerjasama Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam (PFNBD).
Majlis Penutupan Bengkel diadakan hari ini dan disempurnakan oleh Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab selaku tetamu khas majlis.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Fotografi Kreatif, cenderamata kepada pembimbing bengkel serta sijil penghargaan kepada para peserta yang telah menamatkan bengkel berkenaan.
Dalam ucapannya, Yang Dipertua PFNBD, Pengiran Haji Sulaiman bin Pengiran Md. Salleh, antara lain menyatakan bahawa penganjuran bengkel berkenaan merupakan satu inisiatif yang amat bermakna, khususnya dalam memberikan manfaat kepada para peserta, di samping mempromosikan dan mengembangkan bidang seni fotografi di Negara Brunei Darussalam.
Beliau juga berharap agar ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang bengkel berkenaan dapat terus dimanfaatkan dan dipraktikkan oleh para peserta, sekali gus mendorong mereka untuk terus mempertingkatkan kemahiran serta menghasilkan karya fotografi yang berkualiti.
Sepanjang lima hari bengkel, para peserta mengikuti pelbagai pengisian yang merangkumi sesi bimbingan, penerangan, perbincangan dan latihan praktikal yang dikendalikan oleh lima orang pembimbing dari PFNBD.
Mereka terdiri daripada Yang Dipertua PFNBD, Pengiran Haji Sulaiman; Penasihat PFNBD, Awang Haji Mohammad Yusof bin Mohammad Yassin; Setiausaha Agung PFNBD, Awang Amri bin Haji Md. Salleh; Setiausaha Bimbingan PFNBD, Awang Haji Rafieh bin Haji Momin serta Ahli Jawatankuasa Biasa PFNBD, Awang Haji Kahan bin Haji Nasir.
Antara objektif penganjuran bengkel berkenaan adalah untuk membimbing peserta dalam meningkatkan kemahiran dan kepakaran dalam bidang fotografi, di samping membarigakan peranan DBP sebagai sebuah agensi kerajaan yang menyalurkan pelbagai ilmu pengetahuan termasuklah bidang seni fotografi.
Bengkel itu juga bertujuan menghasilkan dan mengangkat karya-karya foto yang terbaik serta berkualiti, dan menggalakkan penglibatan aktif para belia dalam program pembangunan kemahiran yang dapat meningkatkan pengetahuan, keyakinan diri dan daya saing dalam menghadapi cabaran yang semakin dinamik.
Selain itu, bengkel berkenaan diharap dapat menjadi wadah bagi masyarakat mengekspresikan dan mempelbagaikan kreativiti melalui seni fotografi, sekali gus membuka peluang kepada bidang tersebut untuk dikembangkan sebagai sumber pendapatan yang menyumbang kepada kemajuan sosioekonomi negara.