Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Azmah Haji Ahad
BERAKAS, Sabtu, 10 Oktober. - Seramai 80 barisan hadapan daripada sektor hospitaliti dan pelancongan telah mengikuti Service Excellence Training bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pengalaman pelancong khususnya dalam persediaan menjelang Tahun Melawat Brunei 2027 (VBY 2027).
Latihan di bawah Kempen Nationwide MESRA berkenaan dilaksanakan oleh Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP) dengan kerjasama The Oak Tree Services selaku penyedia latihan yang dilantik.
Latihan berkenaan telah berlangsung dalam empat sesi, iaitu pada 31 Ogos hingga 1 September 2026, 21 hingga 22 September 2026, 24 dan 26 September 2026 serta 28 dan 29 September 2026.
Sehubungan itu, Majlis Penyampaian Sijil bagi Service Excellence Training di bawah Kempen Nationwide MESRA diadakan pagi tadi di Dewan Setia Pahlawan, KEPI.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta, Setiausaha Tetap (Industri), KEPI, Awang Mohammad Harris bin Brigedier General (B) Dato Paduka Haji Ibrahim.
Program berkenaan memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran khidmat pelanggan, komunikasi berkesan serta pengendalian interaksi bersama pelanggan secara profesional, positif dan bersesuaian dengan keperluan industri hospitaliti dan pelancongan.
Peserta terdiri daripada pengendali perkhidmatan pelancongan berdaftar di bawah JKP, kakitangan barisan hadapan Royal Brunei Airlines (RB) termasuk petugas kaunter daftar masuk dan kru kabin, selain petugas di beberapa lokasi tumpuan pelancong antaranya Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta muzium-muzium.
Menerusi latihan berkenaan, para peserta didedahkan kepada pengetahuan dan kemahiran bagi memperkukuh keupayaan memberikan perkhidmatan mesra, profesional dan responsif termasuk meningkatkan keupayaan dalam berinteraksi dan mengendalikan pelancong daripada pelbagai latar belakang budaya.
Usaha berkenaan turut bertujuan untuk melahirkan barisan hadapan yang kompeten, berkeyakinan dan mempunyai kemahiran komunikasi mantap, sekali gus menyumbang kepada penyampaian pengalaman pelancongan yang lebih berkualiti kepada para pelawat.
Peningkatan keupayaan dan kualiti perkhidmatan barisan hadapan berkenaan diharap dapat menyokong usaha memperkukuh imej Negara Brunei Darussalam (NBD) sebagai sebuah destinasi pelancongan yang selamat, bersih, mesra dan menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi.
Pelaksanaan latihan berkenaan mencerminkan usaha berterusan JKP dalam memperkukuh kesiapsiagaan sektor hospitaliti dan pelancongan negara menjelang VBY 2027, di samping memupuk budaya perkhidmatan cemerlang yang konsisten dalam kalangan barisan hadapan di negara ini.
Siri latihan seterusnya dijadualkan berlangsung pada Oktober ini, membabitkan pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) serta Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED).
Latihan berkenaan juga akan diperluaskan kepada pihak berkepentingan industri pelancongan tempatan, termasuk pengusaha premis penginapan, restoran dan premis perniagaan.