Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 3 September. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam petang tadi berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan Anugerah Biasiswa 'Sultan's Scholar' Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) bagi Sesi Pengajian 2026/2027 yang berlangsung di Istana Nurul Iman.
Berangkat sama ke majlis berkenaan ialah paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM dan Pengerusi Jemaah Tadbir YSHHB; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
Pada tahun ini, seramai lima penuntut telah berjaya menerima Anugerah Biasiswa 'Sultan's Scholar' YSHHB bagi sesi pengajian 2026/2027 untuk melanjutkan pengajian di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) terkemuka di luar negara, iaitu Dayangku Nurul Fadhlina Natasya binti Pengiran Haji Shahril Azman, lepasan Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah, yang akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah Islamiyyah (BA Syariah Islamiyyah) di Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.
Sementara Dayang Ah Lee Jing Jing, lepasan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, yang akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Pergigian (Bachelor of Dental Science) di Trinity College Dublin, Republik Ireland; manakala Awang Syed Abd. Rahman bin Syed Azmal, lepasan Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), yang akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Elektrik (Bachelor of Engineering-Electrical Engineering) di University of New South Wales, Sydney, Australia.
Manakala Dayang Syasya Amalyna binti Haji Mohamad Saiful Bahrin, lepasan JIS pula akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (Medicine MBChB) di University of Dundee, Scotland, United Kingdom; sementara Dayang Farah Alyah binti Abdul Rahman, juga lepasan JIS, yang akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perancangan Bandar dan Hartanah (BSc Urban Planning and Real Estate) di University College London, United Kingdom.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan beramah mesra dengan para penerima Anugerah Biasiswa 'Sultan's Scholar'.
Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah DYMM berkenan bergambar ramai bersama para penerima Anugerah Biasiswa 'Sultan's Scholar'.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Ahli-ahli Jemaah Tadbir YSHHB; Pengerusi dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah YSHHB; Ahli-ahli Jawatankuasa Pandu Skim Biasiswa 'Sultan's Scholar' YSHHB; Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama; pegawai-pegawai kanan jabatan kerajaan yang berkenaan dan pegawai-pegawai YSHHB; sebahagian alumni 'Sultan's Scholar' YSHHB dan sebahagian pengetua-pengetua dari institusi- institusi tingkatan enam di seluruh negara.