Akhlak Rasulullah asas pembinaan keluarga, masyarakat sejahtera

4 Sep 2026 - 7:31am

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 3 September. - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Jabatan-Jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi di Dewan Digadong, KKBS, di sini, hari ini.

Majlis tersebut diselenggarakan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Pembantu Perkembangan Ugama, Pusat Pembangunan Belia (PPB), KKBS, Awang Muhammad Nabil bin Haji Roslan.

Majlis kemudian diserikan dengan Ceramah Khas bertajuk 'Dengan Akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Kita Membina Keluarga' yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah/Timbalan Pengarah, Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak, selaku penceramah undangan.

Dalam ceramah tersebut, beliau menjelaskan, akhlak Baginda merupakan asas penting dalam pembentukan individu, keluarga, organisasi dan masyarakat yang sejahtera.

Beliau seterusnya menghuraikan nilai-nilai utama seperti rahmah, amanah, kejujuran, sabar, adil, tawaduk dan sikap saling menghormati sebagai panduan dalam kehidupan seharian. 

Dalam konteks Negara Brunei Darussalam (NBD), penghayatan akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam turut dikaitkan dengan pengukuhan nilai Melayu Islam Beraja (MIB) khususnya dalam membina keluarga yang harmoni, organisasi yang berintegriti serta masyarakat yang aman dan bertanggungjawab. 

Ceramah berkenaan turut menekankan bahawa pembinaan negara yang kukuh bermula daripada pembentukan insan berakhlak, seterusnya melahirkan keluarga yang baik, organisasi yang amanah dan masyarakat yang saling menghormati.

Majlis diakhiri dengan Dikir Marhaban oleh pelatih-pelatih PPB, diikuti dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan NBD juga oleh Awang Muhammad Nabil.

Majlis disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dan Sayyidul Istighfar secara beramai-ramai.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai dan kakitangan KKBS.

Majlis ini merupakan antara program tahunan keagamaan anjuran KKBS yang bertujuan untuk memeriahkan lagi Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. 

Di samping itu, ia juga diadakan bagi mengingati jasa dan pengorbanan Baginda dalam menyebarkan syiar Islam, selain menyemai rasa kasih dan cinta terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.