Berangkat ke Majlis Perhimpunan Khas Wanita Peringkat Negara

4 Sep 2026 - 8:10am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hasif Matzin, Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

JERUDONG, Khamis, 3 September. - Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berkenan berangkat ke Majlis Perhimpunan Khas Wanita Peringkat Negara Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Tahun 1448 Hijrah yang berlangsung di Dewan Royal Berkshire, Jerudong, di sini.

Berangkat sama, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H; Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; dan Menteri di JPM (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah.

Turut menjunjung, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, selaku Pemangku Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H; serta Ahli Jawatankuasa Tertinggi, Penasihat-Penasihat Bersama dan Ahli Jawatankuasa Kerja yang lain.

Sejurus itu, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri berserta kerabat diraja diiringi masuk oleh Penasihat-penasihat Bersama; dan Pengerusi-pengerusi Bersama daripada Pengendali-pengendali Bersama Jawatankuasa Kerja Majlis Perhimpunan Khas Wanita Peringkat Negara Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam Tahun 1448H terdiri daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU); JPM; Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI); Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei; dan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD).

Majlis dimulakan dengan persembahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Pemenang Tempat Ketiga Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H/2026 Masihi, Dayang Nurhaneyah binti Nordin, sementara ‘tadabbur’ dibacakan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), KHEU, Dayang Siti Syuhaidah binti Haji Mohd. Yussof.

Aturcara kemudian diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Pengajian Islam, KHEU, Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, selaku Pengerusi Bersama Majlis Perhimpunan Khas Wanita Peringkat Negara Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Bagi Tahun 1448H yang antara lain menyembahkan Majlis Perhimpunan Khas Wanita Peringkat Negara tersebut adalah kali yang ke-33 sejak ia mula diadakan pada tahun 1416H bersamaan tahun 1995M.

Beliau turut menyembahkan tema Majlis Perhimpunan Khas Wanita Peringkat Negara Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pada tahun ini ialah: 'Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam Suluh Akidah'.

Akidah yang lurus sembahnya, hendaklah dibina dan dipandu berlandaskan wahyu Allah Subhanahu Wata'ala, bukan semata-mata berasaskan pendapat, adat kebiasaan atau sangkaan manusia, manakala wahyu pula menjadi panduan kebenaran yang membimbing manusia agar tidak tersasar daripada jalan yang diredai oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

"Sesungguhnya hidayah merupakan anugerah daripada Allah Subhanahu Wata'ala kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas mencari kebenaran, berusaha mendekatkan diri kepada-Nya serta bersungguh-sungguh mengamalkan ajaran yang telah disyariatkan-Nya," sembah beliau.

Dalam pada itu majlis turut diserikan dengan Persembahan Dikir Marhaban daripada gabungan pegawai dan kakitangan KHEU; JPM; KEPI; Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei; dan MWNBD.

Kemuncak acara ialah ceramah khas yang disampaikan oleh Asma binti Harun, penceramah undangan daripada Malaysia, yang antara lain menggariskan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah utusan Allah yang membawa cahaya wahyu untuk membimbing manusia, membetulkan kepercayaan mereka dan menanam keyakinan yang teguh kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Untuk kita menghayati bagaimana suluh akidah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mampu mengubah hati dan kehidupan manusia, beliau mengongsikan dua kisah insan daripada latar kehidupan yang berbeza, tetapi hati mereka disinari oleh cahaya akidah yang sama iaitu kisah pertama mengenai Sayyidina Abu Bakar Al-Siddiq Radiallahuanhu yang mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melebihi dari dirinya sendiri, dan kisah kedua ialah suluh akidah Sumayyah binti Khayyat Radiallahuanhu tentang iman yang tidak dapat dibeli dengan nyawa.

Mengakhiri ceramah beliau menerangkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam datang membawa suluh yang menerangi hati manusia dengan cahaya ikatan hati dengan Allah Subhanahu Wata'ala, sementara Akidah ibarat akar pada sebatang pokok, syariat pula ialah batang dan cabangnya, manakala akhlak serta amal soleh ialah buahnya.

"Akar tidak kelihatan, tetapi akarlah yang menentukan sama ada pokok itu mampu berdiri ketika dilanda ribut. Begitulah akidah. Ia berada di dalam hati, tetapi kekuatannya akan terlihat ketika kita diuji," jelas beliau lagi.

Tambahnya, kita beriman kepada Allah al-'Alim, Yang Maha Mengetahui; Allah al-Mujib, Yang Maha Memperkenankan doa; dan Allah al-Wahhab, Yang Maha Mengurniakan pemberian. Maka akidah yang kuat, bukan menjadikan kita manusia yang tidak pernah bersedih, tetapi ketika kita bersedih, kita tidak pernah meninggalkan Allah Subhanahu Wata'ala.

Sebagaimana Negara Brunei Darussalam (NBD) katanya, Brunei mungkin kecil pada ukuran peta, tetapi besar pada keberaniannya meletakkan Islam di tempat yang tertinggi.

Di bawah kepimpinan baginda sultan tambahnya, Islam bukan sekadar tercatat pada nama negara atau diraikan dalam majlis-majlis rasmi. Islam dijadikan jiwa negara melalui falsafah Melayu Islam Beraja dan gagasan Negara Zikir. 

"Ketika negara berhadapan dengan ujian COVID-19, usaha kesihatan terus dilaksanakan. Namun pada masa yang sama, rakyat diajak kembali kepada Allah.

"Melalui siaran radio dan televisyen, seawal pagi dialunkan bacaan Surah Yasin. Rakyat diseru berdoa, beristighfar dan memohon perlindungan daripada Allah.

"Inilah suluh akidah yang diterjemahkan melalui kepimpinan," ujarnya.

Akidah tidak menyuruh kita meninggalkan usaha. Akidah mengajar kita supaya berusaha sedaya upaya, tetapi hati tetap bergantung sepenuhnya kepada Allah.

Sebagaimana titah baginda sultan: "Brunei ditanai dengan doa, dengan zikir dan dengan Al-Quran."

MasyaaAllah, sebuah negara bukan hanya menjadi kuat kerana kekayaan dan pembangunannya. Sebuah negara menjadi kuat apabila pemimpinnya membawa rakyat mengenal Allah dan mengingatkan bahawa di atas segala perancangan manusia, ada Allah Yang Maha Berkuasa.

Beliau juga mendoakan semoga suluhan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam terus hidup dalam kepimpinan dan kehidupan seluruh rakyat NBD, dan semoga negara yang penuh barakah ini terus menjadi Negara Zikir-negara yang bukan sahaja makmur pada zahirnya, tetapi subur iman dan akidah di dalam jiwa rakyatnya.

Sebagai penutup majlis, bacaan selawat dipersembahkan oleh pelajar-pelajar Skim Tilawah Al-Quran, Jabatan Pengajian Islam, KHEU.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Pemangku Pengarah PDI, KHEU, Pengiran Hajah Haslina binti Pengiran Haji Piut.